Belawai mampu jadi seperti Hawaii - Premier Sarawak

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (File pix)
28/05/2022 05:51 PM

KUCHING, 28 Mei (Bernama) -- Belawai, sebuah penempatan pesisiran pantai di bahagian tengah Sarawak kira-kira 480km ke utara dari sini, boleh dibangunkan sebagai lokasi pelancongan yang dapat menandingi pusat pelancongan luar negara, seperti Hawaii, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata dengan keadaan pantai semulajadinya yang indah, kerajaan negeri bersedia untuk membangunkan infrastruktur seperti projek tebingan sungai, dan pelbagai kemudahan lain bagi menarik kehadiran pelancong ke kawasan itu.

“Selain waterfront, kita boleh juga membina motor home park untuk tempat parkir motorhome serta tempat menyambung bekalan elektrik dan air. Kalau kita dapat buat di sini, seperti negeri orang putihlah Belawai ni. Belawai jadi Hawaii,” katanya.

Berucap di Majlis Hari Raya Aidilfitri di Belawai hari ini, beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi menterinya Datuk Seri Nancy Shukri bercadang untuk mempromosikan pelancongan menggunakan konsep motorhome atau van perkhemahan ini.

“Dengan siapnya projek Jalan Pesisiran Sarawak nanti, mudahlah pelancong datang ke sini menggunakan motorhome mereka, dan rakyat di sini juga akan memperolehi rezeki daripada kedatangan mereka,” tambah Abang Johari.

-- BERNAMA