PRN SARAWAK: PERSAINGAN BERUBAH, PERCATURAN POLITIK MELANGKAUI AGENDA NEGERI
Oleh Muhammad Ammar Shafiq Hamzah & Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUCHING, 25 Nov (Bernama) -- Keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 bukan sahaja memberi kelebihan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS), malah berpotensi mengubah corak persaingan politik negeri itu dengan implikasi strategik.
Ketika parti-parti politik tempatan semakin mendominasi medan persaingan, keputusan itu turut mencerminkan bagaimana kepentingan politik di peringkat negeri dan Persekutuan menjadi pertimbangan dalam menentukan strategi pilihan raya, menurut dua penganalisis politik.
Ahli akademik Profesor Datuk Dr Jayum Jawan yang juga Felo Akademi Sains Malaysia berpandangan persaingan di kawasan majoriti Melayu-Melanau dijangka kurang sengit untuk menggugat kedudukan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), khususnya sayap Bumiputera yang mewakili komuniti berkenaan.
“Bagaimanapun, saya melihat di kawasan majoriti Dayak masih ada persaingan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Bagi kawasan pengundi majoriti Cina pula, walaupun saya lihat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) nampak berkesan di bawah kepimpinan Dr Sim Kui Hian (Timbalan Premier Sarawak), DAP akan memberikan saingan, terutamanya di kawasan bandar,” katanya kepada Bernama.
Semalam, PKR Sarawak mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding pada PRN ke-13 sebagai tanda menghormati semangat kerjasama dan muafakat politik dengan GPS dalam Kerajaan Perpaduan.
Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Penasihat PKR Sarawak Datuk Seri Hafsah Harun, Naib Presiden PKR Pusat Roland Engan dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak Mahmud Epah.
Pendirian berkenaan turut bertujuan memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan serta memperkukuh hubungan antara kedua-dua kerajaan, khususnya dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sebelum ini, Parti Amanah Negara, PAS dan Barisan Nasional turut mengumumkan tidak bertanding pada PRN Sarawak kali ini.
Penganalisis politik Universiti Malaya Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi pula melihat perkembangan itu memperkukuh kecenderungan politik Sarawak berteraskan parti tempatan, dengan kepentingan, autonomi dan aspirasi negeri semakin menjadi asas persaingan.
Selain mengurangkan bilangan pencabar GPS yang memenangi 76 daripada 82 kerusi pada PRN 2021, beliau berkata perkembangan itu turut membuka ruang kepada pertandingan yang melibatkan lebih sedikit penjuru.
Berdasarkan pengumuman calon setakat ini, Awang Azman berkata kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, Satok, Bukit Sari, Piasau dan Senadin antara yang wajar diberikan perhatian manakala Tasik Biru memperlihatkan kemungkinan pertandingan satu lawan satu antara GPS dengan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).
“Landskap persaingan kali ini dijangka mengalihkan tumpuan daripada persaingan ideologi kepartian kepada persaingan berasaskan dasar, prestasi dan pembangunan, dengan isu peluang pekerjaan, pendapatan rakyat, kos sara hidup, infrastruktur luar bandar serta pelaksanaan MA63 berpotensi menjadi teras perbahasan.
“Namun, politik pembangunan tidak seharusnya sekadar menonjolkan projek dan peruntukan kerajaan, sebaliknya turut mengukur keberkesanan pelaksanaan serta keadilan pengagihan hasil pembangunan kepada rakyat,” katanya kepada Bernama.
Di sebalik kelebihan politik yang dinikmati GPS, Awang Azman turut menarik perhatian kepada implikasi persaingan yang terhad terhadap pilihan pengundi serta keberkesanan mekanisme semak dan imbang dalam DUN.
Situasi itu menjadikan peranan institusi audit, media bebas dan masyarakat sivil semakin penting dalam memastikan akauntabiliti pentadbiran.
Dalam konteks politik nasional, keputusan PKR untuk tidak bertanding di Sarawak juga perlu dilihat dalam kerangka hubungan strategik antara parti itu dengan GPS, yang mempunyai kedudukan penting dalam politik Persekutuan setelah memperoleh 23 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Awang Azman berkata keputusan itu mencerminkan keutamaan PKR terhadap kepentingan strategik politik nasional berbanding persaingan di peringkat negeri.
Meskipun dinamik politik selepas pilihan raya umum kelak masih tertakluk kepada pertimbangan GPS sendiri, langkah ini boleh menyediakan asas kepada kerjasama strategik yang lebih luas menjelang PRU16, khususnya sekiranya berlaku lagi situasi Parlimen tergantung.
“Bagaimanapun, muafakat semasa tidak semestinya menjamin kerjasama selepas PRU16 kerana GPS tetap mempunyai autonomi dalam menentukan hala tuju politiknya berdasarkan mandat dan kepentingan Sarawak,” katanya.
Beliau ketika mengulas kedudukan DAP sebagai satu-satunya komponen Pakatan Harapan (PH) yang bertanding berkata perbezaan pendekatan antara kedua-dua parti tidak semestinya mencerminkan perpecahan dalam gabungan itu, sebaliknya memperlihatkan perbezaan keutamaan strategik masing-masing.
-- BERNAMA
