BALU KOPERAL CHIU AKAN DIBANTU DAPAT RUMAH MAMPU MILIK

16/08/2026 04:40 PM

SIBU, 16 Ogos (Bernama) -- Balu mendiang Koperal Chiu Teck Siong, Tang Wei Wei dan lima anak perempuannya akan menerima bantuan perumahan serta pendidikan selepas anggota polis itu maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di Sabah, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata pihaknya akan membantu Tang, 39, mendapatkan rumah mampu milik selain kediaman sewa menerusi Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak (SRAS).

“SRAS memberikan tempoh tiga tahun untuk mencari rumah mampu milik bersesuaian untuk mereka. Saya percaya perkara ini boleh dilaksanakan dan itu menjadi misi saya,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga itu di Ulu Sungai Merah di sini hari ini.

Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tiong Hin di sini bersetuju menanggung perbelanjaan pendidikan termasuk yuran tuisyen anak Tang sehingga tamat tahun enam.

Perbelanjaan pendidikan prasekolah bagi anak bongsu pasangan itu pula akan ditanggung kerajaan.

Selain itu, Tiang berkata pihaknya akan membantu keluarga itu termasuk dalam beberapa urusan perundangan yang perlu diselesaikan.

Chiu, 40, antara tiga anggota polis yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di luar Balai Polis Weston, Beaufort pada 6 Ogos.

Mendiang meninggalkan seorang balu dan lima anak perempuan berusia empat hingga 11 tahun.

-- BERNAMA