KEMENTERIAN KOMUNIKASI PERKUKUH INFRASTRUKTUR DIGITAL, KOMUNIKASI STRATEGIK - KSU

15/07/2026 10:18 PM

KUCHING, 15 Julai (Bernama) -- Kementerian Komunikasi terus mencatat pelbagai pencapaian dalam memperkukuh agenda Malaysia MADANI menerusi pemerkasaan infrastruktur digital, komunikasi strategik kerajaan, keselamatan dalam talian serta pembangunan industri komunikasi negara sepanjang 2025.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata antara pencapaian utama direkodkan ialah peningkatan liputan jalur lebar mudah alih ke arah 100 peratus kawasan berpenduduk melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pemerkasaan rangkaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab komuniti digital serta pelaksanaan kawal selia platform media sosial serta kempen Internet Selamat.

“Selain itu, kementerian turut memperkasa pembangunan industri kreatif melalui pemberian dana dan insentif kepada penerbit tempatan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), memperkukuh penyiaran awam RTM merentasi televisyen terestrial, over the top (OTT) dan radio.

“Kita turut memainkan peranan penting dalam agenda digital negara sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 serta mengekalkan prestasi tinggi dalam tadbir urus, pengurusan kewangan, pembangunan modal insan, inovasi dan penyampaian perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 Kementerian Komunikasi Zon Sarawak di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Abdul Halim berkata landskap perkhidmatan awam kini juga semakin mencabar berikutan perubahan teknologi pesat, perkembangan kecerdasan buatan (AI), ledakan maklumat digital serta peningkatan jangkaan rakyat yang menuntut kecekapan, ketelusan dan kebolehpercayaan tinggi dalam penyampaian perkhidmatan.

“Sebagai warga kementerian, kita memikul tanggungjawab besar untuk memastikan rakyat menerima maklumat sahih, perkhidmatan cekap dan akses komunikasi inklusif. 

“Peranan kita bukan hanya menyampaikan maklumat, malah membina keyakinan rakyat terhadap dasar dan agenda pembangunan negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Sarawak mempunyai kedudukan amat strategik dalam pembangunan negara dan kini muncul sebagai antara peneraju transformasi digital serta pembangunan ekonomi baharu.

Kaya dengan kepelbagaian budaya dan sumber, Abdul Halim berkata negeri itu turut memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembangunan digital negara.

“Seluruh warga Kementerian Komunikasi di Sarawak diharap terus menjadi rakan strategik kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam memperluas akses komunikasi, memperkukuh literasi digital, membanteras penyebaran maklumat palsu serta memastikan manfaat ekonomi digital dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada warga kementerian di negeri itu atas komitmen dan dedikasi ditunjukkan dalam melaksanakan tugas walaupun berdepan cabaran geografi, logistik dan keadaan operasi yang berbeza. 

Pada majlis berkenaan, seramai 84 warga Kementerian Komunikasi yang bertugas di pelbagai agensi di Sarawak menerima APC atas khidmat cemerlang ditunjukkan sepanjang tahun lepas.

Antara penerima termasuk pegawai berita Bernama Biro Sarawak Rozlin Rusharmeen Rosmin.

-- BERNAMA