KESEMUA 636 MENARA KOMUNIKASI BAWAH JENDELA FASA 1 DI SARAWAK KINI AKTIF SEPENUHNYA

File pix
10/07/2026 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kesemua 636 menara komunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di Sarawak bagi menyediakan liputan perkhidmatan komunikasi yang lebih baik kepada penduduk setempat, telah diaktifkan dan beroperasi sepenuhnya setakat 30 April lepas.

Kementerian Komunikasi menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan Parlimen Baram mencatatkan jumlah menara tertinggi yang diaktifkan di bawah JENDELA Fasa 1 iaitu sebanyak 109 menara, diikuti oleh Hulu Rajang (59), Julau (46), Kapit (44) dan Selangau (40).

Menurut kementerian itu, walaupun terdapat kelewatan dalam pengaktifan sebahagian kecil menara komunikasi sebelum ini, antaranya cabaran akses ke tapak akibat kerosakan jalan dan cuaca buruk serta keperluan mendapatkan permit daripada pemilik tanah, namun isu itu telah diselesaikan.

Selain itu, kelewatan turut disebabkan penggunaan pengangkutan alternatif seperti bot bagi penghantaran peralatan, penyediaan sambungan backhaul gentian optik yang memerlukan kelulusan izin lalu serta penyediaan infrastruktur bekalan kuasa di kawasan yang jauh daripada grid elektrik.

Kementerian itu memaklumkan demikian sebagai menjawab soalan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) mengenai jumlah sebenar menara telekomunikasi di bawah projek JENDELA yang telah siap dibina secara fizikal tetapi masih belum aktif di kawasan pedalaman sehingga Jun ini, selain punca kelewatan pengaktifannya.

Selain Projek JENDELA, Sarawak turut melaksanakan inisiatif SMART 600 bagi memperluas liputan perkhidmatan komunikasi di seluruh negeri dengan kesemua 600 menara komunikasi di bawah inisiatif itu telah siap dibina dan beroperasi, termasuk 29 menara yang terletak di Parlimen Baram.

“Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kekal komited untuk terus memperkukuh penyediaan perkhidmatan komunikasi dan internet di Sarawak, termasuk di Parlimen Baram, bagi memastikan rakyat menikmati liputan yang meluas dan perkhidmatan yang berkualiti.

“Usaha ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Sarawak, khususnya Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta Sarawak Multimedia Authority (SMA), bagi memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan secara lancar, berkesan dan memberi manfaat optimum kepada rakyat,” menurut kementerian itu.

-- BERNAMA