BERNAMA GALAS TANGGUNGJAWAB BESAR JAYAKAN KURSUS BERKAITAN AI
KUCHING, 27 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menggalas tangggungjawab besar bagi mengerakkan kursus dan aktiviti berkenaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), untuk melengkapkan pengamal media dengan kemahiran terkini itu dalam menjalankan tugasan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata perkara itu juga merupakan satu pengiktirafan besar kepada agensi berita berkenaan yang baharu saja menyambut ulang tahun ke-57.
“Kursus yang berkaitan dengan AI memang mahal kerana ia satu teknologi yang baharu dan ramai pengamal media memerlukan kursus sedemikian untuk membantu pekerjaan mereka.
“Jadi apabila Bernama yang ditubuhkan pada 1967 diberi tanggungjawab untuk menyusun dan mengaturkan kursus dan latihan ini, Insya-Allah kami cuba lakukan dengan sebaiknya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kemuncak Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan kemuncak sambutan HAWANA 2024 mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Bernama bagi menganjurkan kursus dan latihan berkaitan teknologi AI untuk para pengamal media.
Anwar berkata peruntukan itu selaras dengan seruan agar warga media turut sama mendalami dan menguasai penggunaan teknologi termask AI ketika menjalankan tugasan mereka.
Pada majlis itu Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA bagi kegunaan tahun hadapan untuk membantu pengamal media yang memerlukan bantuan.
Mengenai pengumuman itu, Nur-ul Afida menzahirkan ucapan terima kasih di atas pemberian peruntukan tambahan berkenaan memandangkan wartawan dan petugas media, sama ada yang masih berkhidmat atau sudah bersara, yang menghidapi penyakit kritikal memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
“Berdasarkan pertemuan kami dengan rakan-rakan media yang lain, bagi mereka yang menghidap penyakit kritikal, mereka memerlukan perbelanjaan tinggi untuk dialisis, dan kos rawatan untuk mereka.. ini wajar diberi sumbangan yang lebih tinggi.
“Jadi dengan peruntukan tambahan ini kami berharap dapat membantu mereka dan juga rakan-rakan media yang lain,” katanya.
Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan semasa sambutan HAWANA 2023 bagi menyantuni wartawan dan petugas media yang masih berkhidmat atau sudah bersara, yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.
Inisiatif Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi Bernama bagi menyantuni wartawan dan petugas media sama ada yang masih berkhidmat atau sudah bersara.
Hadir pada majlis hari ini Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan timbalannya Teo Nie Ching.
Hadir sama Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Sambutan HAWANA adalah acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dengan edisi tahun ini berlangsung di Sarawak dan mengangkat tema 'Etika Teras Kewartawanan Mapan’, dihadiri 1,000 peserta terdiri daripada pengamal media tempatan serta antarabangsa.
Turut serta wakil persatuan, kelab wartawan tempatan dan wartawan dari 12 negara iaitu Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait .
Tarikh 29 Mei diisytiharkan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pengamal media tempatan kepada negara.
-- BERNAMA
