CUACA PANAS: SEMUA J/KUASA PENGURUSAN BENCANA BAHAGIAN, DAERAH DI SARAWAK DIARAH WASPADA  

Datuk Amar Douglas Uggah Embas
21/03/2024 05:28 PM

KUCHING, 21 Mac (Bernama) -- Semua jawatankuasa pengurusan bencana bahagian dan daerah di Sarawak perlu berwaspada sepenuhnya ketika ini selaras dengan keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negara, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) berkata keadaan cuaca semasa telah menyebabkan beberapa kawasan sudahpun berhadapan dengan masalah berkaitan bekalan air.

“Sehubungan itu semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian perlu mengambil perhatian sepenuhnya dan menangani situasi ini dengan serius.

“Mereka diarah menilai tahap keterukan masalah di bahagian masing-masing dan menghulurkan bantuan segera seperti menyediakan bekalan air kepada penempatan terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Uggah berkata selain itu orang ramai juga dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya.

“Jangan teragak-agak untuk datang ke klinik terdekat bagi mendapatkan rawatan segera sekiranya mereka menghadapi sebarang masalah kesihatan akibat keadaan itu,” katanya.

-- BERNAMA