SELERA PERANAKAN BABA NYONYA DI BUMI KENYALANG

13/03/2024 11:47 AM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 13 Mac (Bernama) -- Kuih Ang Ku, acar ikan nyonya atau acar hu, ayam buah keluak dan ikan gerang asam, hanyalah sebahagian daripada pelbagai makanan dan pencuci mulut tradisi Baba dan Nyonya yang popular dan mudah didapati di Semenanjung khususnya di Melaka dan Pulau Pinang yang mempunyai ramai komuniti berkenaan.

Namun, situasi sama tidak berlaku di negeri Bumi Kenyalang, mahupun Sabah yang berpisah ribuan kilometer dari Semenanjung apabila agak sukar untuk mendapatkan makanan warisan turun-temurun masyarakat peranakan itu memandangkan komuniti mereka tidak banyak di situ.

Hakikatnya, ramai sebenarnya penggemar masakan komuniti Baba dan Nyonya yang terkenal dengan pemakaian baju kebaya serta kasut manik bagi kaum wanitanya, namun terpaksa melupakan keinginan disebabkan sukar mendapatkannya di dua negeri berkenaan.

Perkara itu yang dikongsikan oleh Shannen Lee pengurus Nyonya Kitchen By Sonia yang membuka restoran peranakan itu di Sarawak sejak Jun tahun lepas mendapati masyarakat di negeri ini bukan sahaja tertarik dengan masakan Baba dan Nyonya, tetapi juga ingin mengenali lebih dekat warisan dan keistimewaan tradisi kaum minoriti yang semakin terhakis.

Situasi itu diterjemahkan oleh anak tempatan ini menerusi dekorasi di restorannya yang terletak di Jalan Datuk Tawi Sli, berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Dengan menggabungkan dekorasi berkonsepkan budaya Melayu serta Cina yang sinonim dengan identiti Baba Nyonya, lukisan mural wanita menggayakan kebaya nyonya, bingkaian kain batik Malaysia serta susunan mangkuk tingkat dan buah mahjung yang menghiasi rak, ditonjolkan wanita ini di restoran berkenaan.

Suasananya tidak ubah seolah-olah berada di rumah komuniti peranakan itu sebaik melangkah ke restoran berkenaan, sekali gus pastinya mengubati kerinduan masyarakat di negeri ini untuk menikmati selera tradisi Baba dan Nyonya.

“Kami mahu menonjolkan makanan asli Baba Nyonya tanpa menggunakan lemak dan daging khinzir bagi membolehkan semua boleh menikmatinya. Resipi masakan dipelajari oleh nenek saya, Sonia Yong, setelah berkahwin dengan datuk daripada keluarga Baba Nyonya.

“Idea membuka restoran bermula apabila masakan nenek sering kali mendapat pujian sewaktu himpunan keluarga sehingga ada yang memberi cadangan untuk dia buka restoran kerana tidak banyak restoran Baba Nyonya di Kuching,” katanya.

Mesra dengan panggilan "Ahma", Sonia, 83, berkata antara hidangan utama yang berasaskan resipi air tangannya ialah nasi ulam, sup ikan asam, ayam buah keluak dan sambal bendi.

Pendedahan budaya itu tidak hanya menerusi makanan mahupun dekorasi, tetapi Lee turut mengetengahkan pelbagai pemanis mulut serta kuih-muih tradisi masyarakat peranakan itu yang popular di kebanyakan tempat seperti bingka ubi, kuih salat (seperti kuih seri muka) dan onde-onde.

“Semua kuih ini dibuat sendiri. Pada awalnya, ada 15 jenis kuih tetapi kami tapis mana yang digemari pelanggan untuk dijual dan kami ada pelanggan dari Sibu dan Miri yang ke sini hanya untuk bungkus kuih dan nikmatinya di rumah.

“Ramai yang mahu kami bekalkan kuih di tempat lain di luar restoran, tetapi kami menolaknya kerana mahu orang datang ke sini untuk menikmati kuih tradisi, sebab itu restoran ini unik kerana kami menjual kuih kami sendiri,” kata Lee dan menambah cef di situ mengambil masa empat bulan untuk menguasai resipi neneknya.

Restoran berkenaan juga sentiasa melakukan penye­lidikan dan pembangunan (R&D) bagi mencipta lebih banyak menu buat pelanggan pada masa akan datang.

“Sejak dibuka, kami sudah ada lebih 20 menu dan akan memperkenalkan menu tambahan yang masih dalam proses R&D seperti rendang daging dan kari daging … Itu bukan resipi nenek saya,” katanya yang berharap untuk mengembangkan lagi cawangan restoran itu suatu hari nanti.

-- BERNAMA