KERAJAAN NEGERI SETUJU UNIVERSITI SHANGHAI FUDAN DARI CHINA BUKA KAMPUS CAWANGAN DI S'WAK

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
25/02/2024 10:56 PM

KUCHING, 25 Feb (Bernama) --  Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju dengan cadangan Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian untuk menarik Universiti Shanghai Fudan dari China untuk menubuhkan kampus cawangannya di Bumi Kenyalang.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dengan penubuhan kampus itu kelak, ia memberi lebih pilihan kepada anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

"Saya mahu kampus ini dibuka di Sarawak sebab universiti ini adalah universiti kelima terbaik di China. Sekarang ini, Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian sedang mengadakan rundingan dengan pihak China dan kita juga berharap kerajaan Malaysia dan China dapat bekerjasama melaksanakannya," kata beliau.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina dan Ulang Tahun ke-45 Persekutuan Persatuan Bahagian Kuching, Samarahan, Serian di sini malam ini.

Beliau turut mengumumkan penyerahan geran tanah bagi kawasan seluas lima ekar dan dana sebanyak RM15 juta bagi pembinaan sekolah baharu iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua No 4 Kuching serta peruntukan berjumlah RM5 juta dan tanah seluas tiga ekar kepada Lembaga Amanah Amal Cina Sarawak untuk melaksanakan lebih banyak kerja-kerja kebajikan.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Datuk Richard Wee Liang Chiat pula meminta Kerajaan Negeri Sarawak berusaha menarik universiti terbaik China untuk menubuhkan kampus cawangan di negeri itu.

Beliau berkata langkah itu akan dapat meningkatkan lagi tahap pendidikan tinggi di Sarawak yang sudah memiliki dua cawangan Universiti Curtin dan Swinburne dari Australia.

Wee turut menzahirkan sokongan persekutuan itu terhadap rancangan untuk memberikan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi kepada anak Sarawak yang dipilih melanjutkan pelajaran mereka di institusi pendidikan tinggi milik kerajaan negeri.

"(Dasar pendidikan peringkat tinggi percuma) ini akan menjadi satu langkah baik kerana ramai lagi anak-anak Sarawak akan berpeluang mendapatkan pendidikan tinggi dan mengurangkan beban kewangan ibu bapa mereka,” katanya.

-- BERNAMA