ZON UTARA TERUSKAN PENGUASAAN DI SUKSAR

Suksar III fb
17/01/2024 01:32 AM

SIBU,16 Jan (Bernama) -- Kontinjen Zon Utara meneruskan penguasaannya dalam Sukan Sarawak (SUKSAR) III yang berlangsung di sini dengan mengutip 10 lagi pingat emas, sekali gus mendahului zon-zon lain pada hari kedua temasya sukan itu dengan 20 emas setakat ini.

Zon Utara yang diwakili atlet dari bahagian Miri, Bintulu dan Limbang menambah kutipan pingat emas mereka apabila memenangi lima kategori dalam acara angkat berat, tiga acara karate dan dua acara taekwondo.

Kedudukan teratas kontinjen itu diperkukuhkan lagi apabila kutipan pingat perak mereka meningkat kepada 20 hasil dari 15 pingat yang dimenangi hari ini selain 14 lagi pingat gangsa diperolehi menjadikan kutipan mereka bertambah kepada 26. 

Zon Tengah yang merangkumi bahagian Sibu, Mukah dan Kapit berada di tempat kedua keseluruhan dengan kutipan 16 pingat emas, 18 perak dan 23 gangsa, Zon Selatan (Kuching, Samarahan dan Serian) di kedudukan ketiga dengan 15 emas, 15 pingat perak dan 14 pingat gangsa. 

Zon Barat (Betong, Sri Aman dan Sarikei) berada di tempat keempat dengan tiga pingat emas, satu perak dan 14 gangsa.

SUKSAR yang bermula di sini semalam merupakan temasya sukan peringkat negeri yang menjadi persiapan Sarawak menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal dihoskan negeri ini dari 17 hingga 24 Ogos.

SUKSAR berlangsung sehingga Khamis ini.

-- BERNAMA