ZON UTARA RAIH 10 PINGAT EMAS PADA HARI PERTAMA SUKSAR III DI SIBU

Suksar III fb
15/01/2024 10:41 PM

SIBU, 15 Jan (Bernama) -- Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) III 2024 membuka tirai hari ini dengan menyaksikan kontinjen Zon Utara bermula gah apabila merangkul 10 pingat emas dan sekali gus mendahului tiga zon lain yang turut mengambil bahagian dalam kejohanan yang berlangsung di sini sehingga Khamis ini.

Lapan daripada pingat emas kontinjen yang terdiri bahagian Miri, Limbang dan Bintulu itu, disumbangkan menerusi acara angkat berat dan karate, manakala dua lagi melalui berbasikal dan wushu.

Selain itu, Zon Utara turut meraih lima pingat perak dengan tiga daripadanya disumbangkan melalui acara wushu dan satu masing-masingnya daripada acara angkat berat dan karate, manakala 12 pingat gangsa pula diperoleh daripada acara wushu karate, berbasikal, dan angkat berat.

Pada masa yang sama, Kontinjen Zon Tengah (Sibu, Mukah dan Kapit) menjadi pencabar terdekat dengan memperoleh lima pingat emas, sembilan perak dan 10 gangsa.

Ia diikuti Zon Selatan (Kuching, Samarahan dan Serian) di tangga ketiga dengan lima emas, enam perak dan lima gangsa, manakala Zon Barat (Sri Aman, Betong dan Sarikei) berada di kedudukan keempat dengan kutipan lima pingat gangsa. 

Seramai 1,365 atlet daripada empat zon itu mengambil bahagian dalam temasya sukan peringkat negeri berkenaan yang mempertandingkan 13 acara sukan dengan upacara perasamian disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.

SUKSAR merupakan antara persiapan Sarawak menjadi tuan rumah penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA XXI 2024) yang yang akan diadakan pada 17 - 24 Ogos dan mempertandingkan 37 jenis acara sukan.

-- BERNAMA