PESARA KERAJAAN SARAWAK BANGGA LALUI PERUBAHAN PESAT PERKHIDMATAN AWAM

18/12/2023 09:36 PM

Oleh Ibrahim Mahsen

SIBU,18 Dis (Bernama) -- Dari era menggunakan mesin taip hinggalah telefon pintar menjadi peralatan pekerjaan penting, seorang pesara kerajaan Sarawak melahirkan rasa bangga kerana berpeluang menikmati perubahan pesat sektor perkhidmatan awam di negeri itu, selama lebih empat dekad lalu.

Herndrew Uka Alo, 60, yang bersara wajib pada April lepas mula berkhidmat pada 1982 di Jabatan Hutan Sarawak berkata pelbagai perubahan dan kemajuan telah beliau saksikan.

Menurutnya ketika awal penyertaan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak, kebanyakan urusan dilakukan secara manual tetap kini semuanya menggunakan teknologi digital, pendek kata perkhidmatan awam Sarawak tidak pernah ketinggalan dengan perkembangan era digitalisasi.

“Dahulu urusan-urusan surat menyurat dibuat secara manual menggunakan mesin taip. Saya juga sempat melalui era ini. Tetapi hari ini semuanya menggunakan komputer. Dahulu perhubungan menggunakan telefon tetapi hari ini boleh guna e-mel, Internet, aplikasi whatsApp dan telefon pintar.

“Saya rasa bangga dan bersyukur kerana diberi peluang masuk ‘kerja perintah’ (istilah bekerja dalam sektor awam dalam dialek Melayu Sarawak),” katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia di sini yang telah disempurnakan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

Sebanyak 298 penjawat awam yang berkhidmat dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan telah menerima pingat tersebut dan daripada jumlah tersebut, tujuh penerima termasuk Hendrew berkhidmat selama 41 tahun, dua penerima berkhidmat selama 40 tahun dan sembilan orang selama 39 tahun.

Herndrew yang juga artis rakaman Iban veteran di Sarawak berkata menerima surat tawaran memasuki perkhidmatan awam Sarawak lebih empat dekad lalu merupakan kenangan yang tidak pernah dilupakan, kegembiraan sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Apabila menerima surat tawaran ‘kerja perintah’ pada waktu itu, saya sangat teruja dan tanpa berfikir panjang terus menerima tawaran tersebut kerana saya yakin masa depan akan terjamin,” jelasnya.

Beliau berkata hari ini beliau bangga dengan pencapaian sektor perkhidmatan awam di Sarawak dan tidak akan melupakan banyak kenangan pahit manis dilaluinya semasa berkhidmat.

Menyentuh tentang bidang nyanyian yang diceburi, Herndrew berkata kesibukan bertugas sebagai penjawat awam tidak menghalangnya untuk aktif dalam bidang itu dengan syarat bijak menguruskan masa supaya tugas tidak diabaikan.

Katanya sepanjang penglibatan dalam bidang nyaian lagu-lagu Iban di Sarawak, beliau berjaya menghasilkan 12 album dan antara lagu popular hingga ke hari ini ialah Induk Rumah Panjang dihasilkan pada tahun 1989 serta Lyna dan Asa Hati Hidup Sekongsi pada 1987.

-- BERNAMA