KERAJAAN SARAWAK AMBIL LANGKAH INTERVENSI TINGKATKAN PENGELUARAN PADI

Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom (file pic)
28/11/2023 06:22 PM

KUCHING, 28 Nov (Bernama) -- Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak akan terus membangunkan infrastruktur penanaman padi sebagai satu daripada langkah intervensi untuk meningkatkan pengeluaran padi tempatan di negeri ini. 

Menterinya, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata setakat ini, lebih 30 kawasan Skim Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedia ada meliputi lebih 10,000 hektar telah dikenal pasti untuk penanaman padi.

"Kementerian saya mencadangkan untuk mewartakan kawasan khusus penanaman padi yang meliputi beberapa Skim JPS sedia ada dan kawasan baharu yang dikenal pasti,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata pendekatan baharu pembangunan padi juga akan dilaksanakan iaitu semua infrastruktur ladang akan dibangunkan oleh JPS manakala Jabatan Pertanian (DOA) Sarawak akan memberi tumpuan kepada perladangan padi.

"Pendekatan sekarang masih menggunakan kaedah konvensional iaitu infrastruktur asas dibangunkan oleh JPS Sarawak, manakala pembangunan infrastruktur tinggi dan penanaman padi adalah di bawah DOA Sarawak yang didapati tidak berkesan,” katanya. 

Dr Rundi berkata kawasan penanaman padi di Sarawak telah menurun secara mendadak iaitu lebih 37 peratus dalam tempoh tujuh tahun lepas apabila hanya kira-kira 78,000 hektar direkodkan tahun lepas berbanding 124,111 pada 2016.

Beliau berkata antara faktor itu disebabkan semakin kurang penanam padi yang aktif, infrastruktur ladang yang semakin merosot, peningkatan kos input pengeluaran, lebih banyak tanah digunakan untuk perladangan tanaman lain yang lebih menguntungkan dan kurang minat dalam kalangan generasi muda untuk menanam padi.

Menurutnya, DOA negeri telah memperuntukkan kawasan seluas 45 hektar yang mempunyai kemudahan ladang di Stumbin, Bahagian Sri Aman untuk pembangunan pusat pengeluaran benih padi berkualiti. 

Selain itu, kementeriannya juga mengambil langkah untuk mengukuhkan rantaian bekalan padi dan beras dengan menggalakkan petani untuk mengamalkan mekanisasi dan automasi dalam aktiviti pertanian mereka.

Sehingga tahun lepas, beliau berkata Sarawak menghasilkan 85,700 tan metrik beras yang mewakili 5.1 peratus daripada jumlah pengeluaran negara dan bersamaan 34 peratus daripada Tahap Sara Diri (SSL) negeri.

"Bagi memenuhi permintaan tempatan kita, Sarawak mengimport 164,621 tan metrik beras bernilai RM362 juta," tambahnya.

-- BERNAMA