TIADA YANG TERLEPAS JIKA TERLIBAT SALAH TADBIRAN DI SARAWAK - ABANG JOHARI

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
24/11/2023 05:38 PM

KUCHING, 24 Nov (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan mana-mana menteri dan timbalan menteri Sarawak yang terbukti terlibat dalam salah tadbiran tidak terlepas daripada tindakan undang-undang negara meskipun mereka dikecualikan di bawah Rang Undang-undang Ombudsman negeri ini. 

Beliau berkata ini termasuk menteri dan timbalan menteri yang didapati memberi arahan dan mendorong penjawat awam Sarawak untuk melakukan salah tadbiran. 

“Contohnya menteri dan timbalan menteri beri arahan (untuk salah tadbiran kepada penjawat awam negeri)…jika terdapat bukti yang sah, kita mempunyai undang-undang untuk menyiasat, jadi tiada yang dikecualikan dalam hal ini.

“Inilah kerajaan Sarawak, kita tidak takut kerana kita mahukan satu kerajaan yang bersih dan kita bukan sekadar cakap kosong,” katanya ketika berucap pada Hari Integriti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di sini hari ini.

Beliau berkata penguatkuasaan undang-undang yang telah diluluskan itu perlu bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap keberkesanan serta ketelusan pentadbiran kerajaan negeri Sarawak, sekali gus merancakkan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Orang (pelabur) percaya dengan kita dan mereka boleh melabur dengan jumlah yang besar, itu adalah kunci jika kita mempunyai tahap keyakinan tinggi. Orang akan melabur, dan ekonomi kita akan mampam dan kita dapat sediakan peluang pekerjaan,” katanya.

Pada Isnin, Dewan Undangan Negeri Sarawak dengan sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Ombudsman Sarawak 2023 bagi membenarkan orang ramai melaporkan salah tabiran oleh agensi perkhidmatan awam negeri, termasuk syarikat berkaitan kerajaan. 

-- BERNAMA