BELANJAWAN 2024: SARAWAK SAMBUT BAIK KOMITMEN KERAJAAN PERSEKUTUAN UNTUK PUSAT KANSER - DR SIM 

Datuk Seri Dr Sim Kui Hian
14/10/2023 01:37 PM

KUCHING, 14 Okt (Bernama) -- Komitmen kerajaan Persekutuan untuk menyokong cadangan Pusat Kanser Sarawak di bawah Belanjawan 2024 disambut baik oleh negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata selain merawat pesakit kanser di negeri itu, pusat berkenaan boleh menjadi hab rawatan di Borneo.

“Akhirnya, (kebenaran) rasmi untuk Pusat Kanser Sarawak yang sangat diperlukan dan lama dinantikan. Sediakan kertas kerja yang diperlukan supaya kita boleh memulakan projek ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat semalam, mengumumkan kerajaan akan menyokong hasrat Sarawak untuk membangunkan pusat kanser.

Pada 16 Jan, Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Sarawak bersedia untuk membina pusat kanser menjelang akhir tahun ini jika kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan itu.

“Saya tahu (untuk membina pusat itu) sangat mahal. Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, kami akan membiayai kos bangunan itu kira-kira RM800 juta dan (kerajaan) Persekutuan akan menyediakan doktor dan peralatan,” kata Abang Johari.

Mengulas mengenai Belanjawan 2024 secara keseluruhan, Dr Sim berkata ia adalah belanjawan yang amat mencabar bagi kerajaan Persekutuan kerana ia perlu menangani cabaran penyusutan nilai mata wang dan peningkatan kos selepas COVID-19.

Beliau berkata Sarawak menunggu butiran mengenai peruntukan dalam Belanjawan 2024 untuk projek yang sedang berjalan dan yang baharu.

-- BERNAMA