SIDC, JABATAN HUTAN SARAWAK DICADANG BEKERJASAMA KAJI SAMPEL PENYAKIT ZOONOSIS

Dr Annuar Rapaee (File pix)
09/10/2023 05:50 PM

SIBU, 9 Okt (Bernama) -- Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) dan Jabatan Hutan Negeri harus bekerjasama dalam mengumpul dan mengkaji sampel penyakit zoonosis serta penyakit tropika terabai (NTD) yang berasal dari hutan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata kerjasama ini akan menjadi sebahagian daripada persediaan negeri dalam menghadapi kemungkinan wabak Penyakit X.

“Saya telah diminta oleh seorang saintis untuk mengkaji penubuhan bank data untuk penyakit yang tidak diketahui. Dengan data yang kita ada, kita boleh membandingkannya dengan data dari pusat penyelidikan di seluruh dunia dan seterusnya mengambil langkah segera termasuk mencipta vaksin untuk mencegah wabak penyakit X atau Y atau Z daripada menjadi pandemik,” katanya.

Dr Annuar berkata demikian ketika merasmikan acara Le Tour De Restoration - Menghijaukan Sarawak di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) hari ini.

Beliau berkata kemunculan virus yang tidak diketahui adalah disebabkan oleh penebangan hutan yang berlaku secara kritikal di seluruh dunia.

“Apabila penebangan hutan berlaku, haiwan dan serangga berpindah ke tempat lain, membawa penyakit bersama. Apabila haiwan atau serangga itu pupus, virus atau penyakit yang mereka bawa akan berpindah ke perumah baru, iaitu manusia. Dengan perubahan iklim, penyakit bermutasi menjadikannya sukar untuk dicegah atau diubati,” katanya.

Penyakit berjangkit yang timbul pada manusia termasuk HIV, Ebola dan Nipah, dan semua penyakit itu berasal dari haiwan yang tinggal di hutan, disebarkan oleh pelbagai haiwan lain, kebanyakannya hidupan liar, dan beliau turut merujuk penyakit COVID-19 yang bermula di Wuhan, China, yang menurutnya berpunca daripada kelawar.

Dr Annuar yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UTS turut mencadangkan penubuhan taman botani di atas tanah seluas 1.6 hektar universiti itu, ditanam dengan pokok-pokok asli Sarawak seperti belian, meranti, selangan, engkabang, nyatoh ketiau, ramin dan gaharu.

Sementara itu Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad berkata Sarawak telah menanam 29.2 juta pokok, dalam usaha mencapai sasaran penanaman 35 juta pokok menjelang 2025 di bawah program Le Tour De Restoration (LTDR) Greening Sarawak Campaign 2.0 yang bermula pada 2021.

Menurutnya Sarawak berjaya merekodkan penanaman pokok paling banyak berbanding lain-lain negeri, dengan jumlah penanaman 29,295,293 pokok.

-- BERNAMA