TALIB ZULPILIP PEMIMPIN BERINTEGRITI TINGGI, SENTIASA PERANGI RASUAH - ABANG JOHARI

Datuk Talib Zulpilip
15/09/2023 11:49 PM

KUCHING, 15 Sept (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip sebagai pemimpin yang berintegriti tinggi dan sentiasa memerangi rasuah. 

Beliau berkata berikutan prestasi cemerlang itu, Talib diberi tanggungjawab sebagai menteri pertama yang mengetuai Kementerian di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak pada 2017. 

“Ya, beliau diingati kerana memerangi rasuah di Sarawak dan kerana integritinya yang tinggi, saya memberi tugas kepada beliau untuk mengetuai sistem ombudsman di Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat jenazah di Kompleks Tanah Perkuburan Islam Samariang di sini malam ini. 

Abang Johari berkata selepas mempertahan kerusi Jepak pada Pilihan Raya Negeri lepas, Allahyarham banyak menyumbang idea kepada pembangunan di Jepak Jaya yang terletak di bahagian Bintulu menerusi Lembaga Kemajuan Bintulu.

“Beliau menjadi penasihat untuk kerajaan negeri bagi melihat pembangunan di kawasan berkenaan…saya mewakili pihak kerajaan dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengucapkan takziah atas pemergian beliau,” katanya. 

Jenazah Talib, 72, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang pada 10.30 malam.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba dari Pusat Perubatan Normah pada 7.55 malam untuk dimandi serta disolatkan di Kompleks Pusara Islam Samariang.

Turut hadir Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. 

Menurut Setiausaha Sulit Allahyarham, Ayu Sulaiman, Talib meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah pada 5.50 petang tadi akibat beberapa komplikasi seperti buah pinggang, hati, jantung dan kencing manis. 

Arwah meninggalkan seorang balu, Datin Dr Zaliha Abdullah, dan empat anak serta empat cucu. 

Talib merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.

Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak serta Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak.

-- BERNAMA