HARI MALAYSIA: PERSIAPAN AKHIR SEMAKIN RANCAK MENJELANG SAMBUTAN SABTU INI

Datuk Julaihi Narawi (File photo)
11/09/2023 04:04 PM

KOTA SAMARAHAN, 11 Sept (Bernama) -- Persiapan akhir bagi sambutan Hari Malaysia ke-60 yang akan diadakan di Stadium Perpaduan Kuching semakin rancak dijalankan dengan hanya berbaki lima hari lagi bagi acara itu dipentaskan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk sambutan Hari Malaysia ke-60, Datuk Julaihi Narawi berkata persiapan akhir melibatkan logistik, keselamatan serta elemen budaya dan hiburan yang akan memeriahkan sambutan itu kelak, berjalan dengan lancar.

 “Acara yang kita sediakan persediaan rapi adalah di peringkat akhir. Kelainan dan perkara yang kita perlu tekankan (dalam sambutan tahun ini) ialah Sarawak mempunyai ramai suku kaum dan kita boleh membuktikan bahawa kita boleh hidup dalam suasana aman damai, bersatu padu,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di kampus Universiti Malaysia Sarawak di sini hari ini, beliau mengesahkan Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar akan menjadi tetamu kehormat utama dalam sambutan itu yang akan disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain itu, turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salang. 

Bertemakan "Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan", sambutan Hari Malaysia kali ini dijadualkan bermula dengan acara prapersembahan pada 7 malam sebelum acara rasmi pada 8.30 malam.

Pengisian program itu antaranya Konsert Hari Malaysia yang dijayakan oleh artis tempatan, upacara menandatangani Buku Khas Hari Malaysia serta perarakan masuk Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

Julaihi berkata menerusi sambutan ini, Sarawak dapat terus menjadi rujukan dalam mencorakkan serta menyemarakkan semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum di Malaysia, sejajar dengan cogan kata “Segulai Sejalai” yang bermaksud “seiring sejalan” yang kini diambil sebagai cogan kata perpaduan kerajaan Persekutuan. 

Beliau turut berkata penubuhan Malaysia sejak 16 Sept 1963 yang memasuki usia enam dekad adalah signifikan dalam mengetengahkan keutuhan kerjasama jitu antara Semenanjung Malaysia, Sabah serta Sarawak.

“Kita (gabungan tiga wilayah) masih kekal dan nampak kuat sehingga hari ini dan ia menjadi pengajaran kepada kita kepentingan bekerjasama dan bergabung dalam satu persekutuan (ini) maknanya, kita boleh teruskan struktur yang ada sampai bila-bila.

“Rakyat Sarawak mempunyai latar belakang kaum dan agama yang pelbagai, namun kita boleh bergerak sehaluan untuk ke hadapan dan menjadi wilayah yang maju, jadi perkara ini antara contoh terbaik yang boleh dijadikan rujukan, jadi sesuailah sambutan ke-60 tahun Malaysia dianjurkan di Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA