PAKEJ 5G RAHMAH BERI PELUANG MILIKI TELEFON BAHARU, KEGUNAAN ANAK SEKOLAH

5G mobile application (File pix)
29/08/2023 11:07 PM

KUCHING, 29 Ogos (Bernama) -- Inisiatif Pakej 5G RAHMAH yang diumumkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini, disambut rasa syukur oleh penduduk di negeri ini kerana ia membolehkan mereka membeli telefon baharu bagi menggantikan yang rosak atau untuk kegunaan anak sekolah.

Pakej 5G RAHMAH, yang ditawarkan untuk rakyat Malaysia bermula 31 Ogos ini hingga Disember melibatkan pakej telefon pintar jenama Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G serendah RM240 berserta pelan data sebanyak 60GB pada harga RM60 sebulan.

Richie Merlin, 28, penjaga stor di sebuah kilang minuman berkata inisiatif itu memberi kelegaan kepadanya yang kurang berkemampuan untuk menukar telefon bimbit yang rosak sejak beberapa bulan lepas.

“Kos memperbaiki skrin telefon bimbit bukan murah, kalau sudah dibaiki pun belum tentu elok dan  bertahan lama. Jadi, ini peluang saya untuk mendapatkan telefon bimbit baharu pada harga berpatutan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang pemandu treler, Hanseld Hayes, 48, pula berkata dia akan merebut peluang yang terbuka kepada 100,000 pelanggan terawal itu untuk mendapatkan telefon bimbit bagi kegunaan anaknya yang bersekolah.

Katanya sebelum ini anaknya hanya menggunakan telefon bimbit lama yang telah pecah skrin sementara menunggu dia mempunyai duit lebih untuk membeli yang baharu.

“Kebetulan bulan depan hari jadi anak saya ke-12 tahun, kalau berkesempatan dapat beli yang baharu untuk kegunaannya mesti dia suka dan dengan bayaran RM120 sekurang-kurangnya tidak terlampau membebankan saya,” katanya.

Bagi ibu tunggal, Agnes Johnson, 43, yang bekerja sendiri dengan menjual kuih-muih di kampung berkata dia berasa lega dengan pengumuman itu kerana sudah lama teringin untuk menukar telefon bimbit yang telah digunakan sejak tujuh tahun lepas.

“Masalah telefon bimbit saya ini sangat lambat kalau hendak buka aplikasi, sudah lama teringin untuk tukar baharu tapi disebabkan kekangan kewangan niat itu terbatal.

“Lebih menyulitkan apabila sekarang ini di mana-mana guna Spay (aplikasi e-dompet Sarawak) untuk transaksi, kalau telefon bimbit bermasalah transaksi menjadi lambat dan tidak berjaya. Jika dapat tukar baharu mesti urusan transaksi jualan kuih-muih lebih mudah dan efisien,” katanya.

Sebanyak 100,000 pelanggan terawal daripada golongan B40 akan menikmati Pakej 5G RAHMAH dengan harga telefon pintar serendah RM120.

Sementara itu, rebat RM10 selama 12 bulan bagi pakej pascabayar bernilai RM60 bermula 16 Sept dianggap sebagai ‘hadiah’ buat penjawat awam sempena sambutan Hari Malaysia, yang bakal diraikan pada tarikh itu.

Ahmat Johari, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai Arip, Balingian, Selangau menyifatkan rebat itu sebagai amat bermakna kepada guru sepertinya yang bertugas di kawasan luar bandar, namun berharap kerajaan tidak mengehadkan tempoh kepada 12 bulan sahaja.

“Ini satu pengiktirafan yang bersifat inklusif kepada penjawat awam termasuk mereka yang bertugas di Sarawak. Walaupun jumlah terlibat dilihat kecil, dari konteks semangat Malaysia MADANI ia menyebar ke seluruh negara,” katanya  ketika dihubungi Bernama.

Dalam pada itu, Ahmat turut meminta kerajaan menyegerakan penambahbaikan liputan di kawasan luar bandar yang mempunyai sekolah kerana keadaan liputan kini tidak stabil dan menyukarkan guru menjalankan tugas ,lebih-lebih lagi jika terpaksa menghadiri mesyuarat dalam talian.

“Kadang-kadang terpaksa pergi ke kawasan pekan berdekatan atau ke kawasan bandar demi mendapatkan liputan Internet,” katanya.

Kerajaan hari ini turut mengumumkan Insentif Pascabayar RAHMAH Penjawat Awam yang disasarkan kepada semua penjawat awam Malaysia dengan menawarkan rebat RM10 sebulan dan langganan boleh dilakukan mulai 16 Sept ini. 

--BERNAMA