PERSATUAN PKS SARAWAK, UTS METERAI MOU BANGUN PROGRAM LATIHAN

ME Sarawak President Jordan Ong Chung Siang and University of Technology Sarawak (UTS) vice chancellor Prof Datuk Dr Khairuddin Ab. Hamid exchange documents while Ideal Maker PLT Director Mr. Ronald Ng Kho Fatt (left) and UTS deputy vice-chancellor Prof Ts Ir Dr Mohd Shahril Osman look on after the signing ceremony.
24/08/2023 03:13 PM

SIBU, 24 Ogos (Bernama) -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sarawak hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) bagi membangunkan program latihan kepada ahlinya dan orang ramai.

Menerusi MoU itu, UTS akan menyediakan program Strategi Pemasaran dengan Penciptaan Kandungan selama lima hari dan program Menguasai Asas Adobe Photoshop untuk Perniagaan selama tiga hari yang disasarkan kepada peserta berusia 18 hingga 45 tahun.

Program untuk 25 peserta bagi setiap kelas itu akan dibiayai menerusi Geran Pemulihan Bizfund Persekutuan Perniagaan Sarawak yang diterima daripada kerajaan negeri.

“UTS akan membangunkan kandungan latihan untuk program itu berdasarkan keperluan PKS dan menyampaikannya kepada peserta yang dibimbing oleh PKS,” kata Presiden Persatuan PKS Sarawak Jordan Ong Chung Siang selepas majlis penandatanganan MoU itu di UTS di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani Ong bagi mewakili persatuan berkenaan manakala UTS diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid.

PKS pula akan mempromosikan program berkenaan kepada ahlinya dan ahli persatuan lain di bawah Persekutuan Perniagaan Sarawak selain orang awam.

“MoU ini menggariskan komitmen kami (Persatuan PKS Sarawak) untuk memupuk generasi profesional yang bukan sahaja dilengkapi dengan pengetahuan akademik malah berkemahiran, mampu beradaptasi serta bersedia dalam industri,” katanya.

Sementara itu, Khairuddin berkata MoU berkenaan menandakan gabungan usaha akademik dan aplikasi praktikal, pengetahuan dan inovasi yang berpegang kepada janji untuk merapatkan jurang antara kecemerlangan akademik dan industri berkaitan.

"Kami percaya kolaborasi ini akan meningkatkan kualiti peserta dan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk cemerlang dalam sektor pembinaan dan selanjutnya,” katanya.

-- BERNAMA