SAPE BAKAL DIPAMER DI MUZIUM SUKAN ASIA CHINA

20/08/2023 09:47 PM

KUCHING, 20 Ogos (Bernama) -- Sape atau sampe, sejenis alat muzik tradisional petik bertali yang dimainkan oleh masyarakat Orang Ulu di Sarawak, telah dipilih untuk dipamerkan sebagai antara kraf budaya Malaysia di Muzium Sukan Asia di Hangzhou, China. 

Timbalan Pengarah Komunikasi Pemasaran dan Pengaktifan Proton Holdings Bhd (Proton) Steven Zhou Qi berkata inisiatif untuk mempromosi alat muzik tradisional itu di peringkat global adalah dipacu oleh syarikat automotif negara itu kerana ia turut memainkan peranan penting bagi merangsang sektor pelancongan Malaysia pasca-COVID-19. 

“Kami berhasrat menjadi jambatan itu, jadi kami menganjurkan acara yang bukan sahaja mempromosi semangat Sukan Asia tetapi juga produk tempatan yang boleh disiarkan di peringkat antarabangsa dan akan menyebabkan lebih ramai pelancong antarabangsa datang ke Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas program Asian Games Nation Drive edisi Sarawak di sini hari ini. 

Beliau berkata alat muzik tradisional itu akan dipamerkan bersama kraf budaya lain dari setiap negeri di Malaysia berdasarkan yang paling meraih undian di media sosial Proton. 

Program dua hari itu diadakan sempena Sukan Asia edisi ke-19 yang berlangsung di Hangzhou dan Proton secara rasmi telah dilantik sebagai antara kenderaan rasmi bagi temasya yang berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Okt tahun ini. 

“Ini adalah edisi kedua. Edisi pertama telah diadakan di Sabah dan bagi yang seterusnya, kami akan membawa program ini ke bahagian selatan dan utara Semenanjung Malaysia,” katanya.

Selain mempromosi Sukan Asia di seluruh negara, acara itu memberi peluang kepada sejumlah 14 pengamal media untuk menimba pengalaman memandu pelbagai model keluaran Proton seperti Persona, Saga, X50, X70 dan terkini X90, ke beberapa lokasi pelancongan di sekitar Kuching. 

Para peserta, yang terdiri daripada pengamal media dan kakitangan serta pakar produk Proton, memulakan sesi pandu uji di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo dari Kuching hinggalah ke Telok Melano, pantai indah yang telah diisytihar sebagai ‘Sifar Kilometer’ dan kembali ke Kuching, menjadikan keseluruhan perjalanan sejauh kira-kira 280 kilometer (km). 

Pada hari kedua, peserta memandu dari bandaraya Kuching hinggalah ke Kampung Budaya Sarawak di Santubong dalam perjalanan sejauh 40 km untuk menikmati kekayaan budaya pelbagai etnik di Bumi Kenyalang. 

Acara hari ini turut menyaksikan petinju Sarawak dan Malaysia iaitu Daeloniel McDelon Bong menyerahkan sape yang direplikakan daripada kayu kepada Steven, yang merangkumi inti pati Sukan Asia iaitu perpaduan, semangat kesukanan, nilai bersama serta pertukaran budaya. 

Anak kelahiran Sri Aman berusia 24 tahun itu, yang digelar 'Kilat Boy,' berkata langkah mempamerkan kekayaan budaya Sarawak melalui sape di peringkat antarabangsa merupakan satu penghormatan bagi masyarakat tempatan kerana negeri itu terkenal dengan kepelbagaian dan keharmonian kaum.

-- BERNAMA