PENDAPATAN ISI RUMAH DI SARAWAK CATAT TREND MENAIK -- ABANG JOHARI

SIBU, August 7 -- Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg speaks to pressmen after visiting Kampung Datu Redevelopment Project in Sibu. The Premier shares that Sarawak had experienced an upward trend in its total monthly household income, reaching RM3.9 billion in 2022 compared to RM3.7 billion in 2019.
07/08/2023 08:06 PM

SIBU, 7 Ogos (Bernama) -- Sarawak mengalami trend kenaikan dalam jumlah pendapatan isi rumah bulanan, apabila ia mencecah RM3.9 bilion pada 2022 berbanding RM3.7 bilion pada 2019.

Berita baik mengenai kenaikan sebanyak 5.4 peratus yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) menerusi Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah itu dikongsi bersama pihak media oleh  Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.

Beliau melawat Projek Pembangunan Semula Kampung Datu petang tadi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri (SDCCM) Kali Keempat 2023 pada sebelah pagi.

Beliau berkata dalam tempoh tiga tahun, purata pendapatan isi rumah kasar bulanan di negeri ini menyaksikan pertumbuhan sebanyak 8.4 peratus, meningkat daripada RM5,959 pada 2019 kepada RM6,457 pada 2022.

Pada masa yang sama, median pendapatan isi rumah bulanan juga mengalami kemajuan yang signifikan, mencecah RM4,978 pada 2022, berbanding RM4,544 pada 2019 (pertumbuhan 9.6 peratus).

Purata pendapatan isi rumah kasar bulanan di kawasan bandar di Sarawak meningkat daripada RM7,243 pada 2019 kepada RM7,744 pada 2022 (6.9 peratus) dan dalam tempoh yang sama, purata pendapatan isi rumah kasar bulanan di kawasan luar bandar meningkat daripada RM4,218 kepada RM4,579 (8.6 peratus).

“Saya gembira bahawa statistik tersebut menunjukkan trend pertumbuhan positif dalam purata pendapatan isi rumah kasar bulanan bagi kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar yang mengalami peningkatan lebih tinggi sedikit dalam pendapatan isi rumah kasar.

“Ini mempamerkan usaha kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan yang seimbang dan pertumbuhan inklusif di seluruh negeri,” katanya.

Sarawak menyasarkan untuk meningkatkan purata pendapatan isi rumah daripada RM4,544 pada 2019 kepada RM15,000 sebulan ketika negeri ini menuju ke arah sebuah negeri maju menjelang 2030 dan Premier Sarawak percaya negeri ini berada di landasan yang betul, seperti yang dibuktikan oleh Bank Dunia yang mengiktiraf Sarawak kini sebuah negeri berpendapatan tinggi.

“Selain itu, status berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia juga berkait rapat dengan hasil kami yang mana Sarawak mencatatkan hasil sebanyak RM11.9 bilion, prestasi tertinggi yang pernah dicapai dalam sejarah negeri ini,” kata Abang Johari.

Dengan hasil yang meningkat itu, Sarawak telah menaikkan siling Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 Sarawak daripada RM30 bilion kepada RM38 bilion bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur di seluruh wilayah untuk memudahkan pembangunan sosioekonomi yang inklusif.

Melalui siri program-program pembangunan berimpak tinggi yang disasarkan, Sarawak berhasrat untuk memupuk masyarakat yang mana tiada siapa yang ketinggalan dan peluang boleh diakses oleh semua.

Beliau berkata kerajaan Sarawak juga turut melabur dalam pembangunan modal insan bagi memastikan rakyatnya dilengkapi dengan kemahiran yang betul untuk meningkatkan purata pendapatan isi rumah kepada RM15,000 sebulan menjelang 2030.

-- BERNAMA