INDUSTRI PELANCONGAN SARAWAK KEMBALI MEMBERANGSANGKAN - ABDUL KARIM

24/07/2023 02:45 PM

SIBU, 24 Julai (Bernama) -- Prestasi industri pelancongan Sarawak sudah mula menunjukkan perkembangan memberangsangkan dan dijangka dapat mencapai sasaran untuk menarik tiga juta pengunjung ke negeri itu menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata jumlah kedatangan pelancong ke negeri itu pada tahun ini mampu mendekati angka ketibaan pada 2018 dan 2019, sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.

Berdasarkan statistik kementeriannya, sejumlah 4.43 juta pengunjung dicatatkan di Sarawak pada 2018 dan 4.66 juta orang pada 2019. Antara Januari dan Jun tahun ini, seramai 1.96 juta sudah dicatatkan.

Jumlah kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke Sarawak akan terus meningkat berikutan banyak acara peringkat kebangsaan dan antarabangsa akan berlangsung di Kuching dan bahagian-bahagian lain negeri ini sehingga akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi merasmikan majlis penutupan Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2023 di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini malam tadi.

BCF merupakan antara acara tahunan disenaraikan dalam kalendar pelancongan Sarawak yang dianjurkan Majlis Perbandaran Sibu (MPS)  bulan Julai setiap tahun sejak 2003 dan tahun ini, festival itu memaparkan persembahan kebudayaan, makanan dan kraftangan dari Sarawak, Sabah, Indonesia, China dan Thailand.

Abdul Karim berkata sambutan Hari Muzium Antarabangsa peringkat kebangsaan dari 31 Julai hingga 6 Ogos, Festival Filem Antarabangsa ASEAN (2 - 4 Ogos), selain Regata Sarawak dan perlumbaan Perahu Naga dalam bulan Oktober ini dijangka dapat menarik ribuan pengunjung ke negeri ini.

Dalam pada itu beliau berkata Bandar Sibu boleh dipromosikan sebagai pelancongan eko dengan adanya jalan raya Sibu-Kapit yang menghubungkan bandar itu ke kawasan pedalaman Sarawak yang membuka banyak potensi pelancongan baharu untuk dimajukan di kawasan tengah negeri berkenaan.

-- BERNAMA