BASMI KEMISKINAN: SARAWAK FOKUS PERKASA KANAK-KANAK

Datuk Seri Fatimah Abdullah
15/06/2023 02:52 PM

KUCHING, 15 Jun (Bernama) -- Usaha “menoktahkan” masalah kemiskinan tegar merupakan agenda besar yang memerlukan penelitian dalam pelbagai aspek bagi mencari penyelesaian berkesan.

Di Sarawak, selain pelbagai usaha untuk mengangkat golongan miskin ke paras lebih baik, kerajaan negeri juga antara lain turut membawa agenda memperkasakan kanak-kanak terutamanya dalam aspek pendidikan.

Berpegang kepada peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya” serta kepercayaan bahawa pendidikan merupakan kunci utama sebagai alat mobiliti sosial, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM2.5 juta tahun ini bagi melaksanakan inisiatif subsidi yuran Taska dan Tadika.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah, usaha itu diambil bagi membantu meringankan beban kewangan ibu bapa yang berpendapatan rendah.

“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 2,500 kanak-kanak di Sarawak,” katanya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, pada 23 Mei lepas. 

Fatimah berkata dalam usaha membantu pengusaha lnstitusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) berdaftar agar terus dapat memberi perkhidmatan asuhan, bimbingan dan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, kerajaan Sarawak telah menawarkan pemberian Geran Tahunan Khas (GTK) kepada IPAKK sejak 2019.

Beliau berkata setakat April tahun ini, sebanyak RM57.5 juta telah dibelanjakan di bawah GTK itu dan telah memberi manfaat kepada 290,621 kanak-kanak.

Selain fokus kepada pendidikan awal kanak-kanak, Sarawak turut memperkenalkan inisiatif Endowment Fund Sarawak (EFS) dengan pemberian sebanyak RM1,000 dalam bentuk simpanan amanah kepada setiap kelahiran anak Sarawak bermula pada 2019.

EFS bertujuan membantu anak-anak Sarawak sebagai persediaan bagi melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi, memulakan kerjaya atau sebagai modal permulaan perniagaan kecil.

“Sehingga Mei tahun ini, sebanyak RM91.16 juta telah dibelanjakan kerajaan dan seramai 91,163 kanak-kanak telah memanfaatkan inisiatif itu,” menurut Fatimah.

Selain usaha berkenaan, kerajaan Sarawak juga kini sedang menggunakan khidmat pengkaji profesional untuk menjalankan penyelidikan lebih objektif dan tepat berhubung tahap kemiskinan yang berlaku di negeri itu.

Pada 29 April lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kajian tentang taraf kemiskinan di negeri itu bukannya berdasarkan statistik semata-mata tetapi melibatkan penyelidikan mendalam memandangkan status miskin digunakan masa kini untuk negeri ini turut melibatkan mereka yang memiliki aset seperti tanah.

-- BERNAMA