KERAJAAN SARAWAK CADANG WUJUDKAN SISTEM PERUNDANGAN OMBUDSMAN 

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
14/06/2023 06:32 PM

KUCHING, 14 Jun (Bernama) -- Kerajaan Sarawak bercadang untuk mewujudkan satu sistem perundangan ombudsman sebagai langkah untuk meningkatkan lagi aspek semak dan imbang pentadbiran negeri itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata satu kajian akan dibuat berhubung sistem ombudsman yang diamalkan di Sweden dalam usaha untuk mewujudkan sistem seumpama itu di Sarawak.

“Saya sendiri akan berkunjung ke Sweden bersama pihak peguam negeri dan juga pihak berkepentingan bagi kita mengkaji dengan menyeluruh sistem ini yang (dicadangkan) akan melapor terus kepada DUN (Dewan Undangan Negeri),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Seminar Kolaborasi dan Pencegahan Jenayah Kewangan di sini hari ini.

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (third, left) shares a light moment with the Ministry of Education, Innovation and Talent Development (MEITD) Permanent Secretary Azmi Bujang (second, right) and Sarawak Microelectrics Design (SMD) Semiconductor Chief Executive Officer, Shariman Jamil (left) after witnessing the Memorandum of Understanding (MoU) exchange ceremony at Wisma Bapa Malaysia, Kuching.

Ombudsman merupakan badan rasmi ataupun separa rasmi yang bertanggungjawab menerima dan menyiasat aduan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan apa-apa perkara berkaitan jentera kerajaan.

“Sekarang memang kita (sudah) ada sistem ombudsman di bawah seorang timbalan menteri dan kita ada pegawai yang SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) latih, tapi kita hendak mewujudkan (sistem) yang lebih mendalam...bermakna semak dan imbang itu bukan di bawah satu jabatan sahaja,” katanya.

Abang Johari berkata hasil daripada kajian itu nanti akan menjadi asas bagi kerajaan negeri untuk mendraf rang undang-undang berhubung sistem perundangan itu. 

“Pada persidangan DUN hujung tahun ini kita akan membentangkan rang undang-undang itu iaitu sistemnya lebih bertanggungjawab dan mengambil pendekatan ‘anda bertanggungjwab kepada DUN, anda tertakluk kepada DUN’,” katanya.

Semasa menjelaskan pemilihan Sweden sebagai negara contoh untuk pelaksanaan sistem itu di Sarawak, beliau berkata negara Scandinavia itu telah memulakannya sejak kurun ke-19 yang menjadikannya sebagai negara dengan tahap integriti yang tinggi.

Menurutnya sistem ombudsman negara berkenaan membolehkan amalan semak dan imbang dapat dilakukan oleh wakil rakyat tanpa mengira mereka adalah penyokong kerajaan atau sebaliknya.

“(Ini membolehkan) keseimbangan dalam kita menguruskan sistem semak dan imbang...kalau tidak, orang akan kata kerajaan bias (kerajaan berat sebelah),” tambahnya.

-- BERNAMA