SARAWAK SARAN DIBERIKAN AUTONOMI DALAM ASPEK PENGAMBILAN PEKERJA PENJAGAAN KESIHATAN KERAJAAN

05/05/2023 03:30 PM

KUCHING, 5 Mei (Bernama) -- Sarawak menyarankan agar kerajaan negeri diberikan autonomi dalam aspek pengambilan dan penempatan pekerja penjagaan kesihatan kerajaan di seluruh negeri itu, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Beliau juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata autonomi itu adalah salah satu cadangan yang dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi penyediaan Kertas Putih Kesihatan Malaysia, khusus untuk menyelesaikan isu berkaitan sumber manusia dalam industri penjagaan kesihatan.

“Itu sebabnya amat penting kenapa kita mahukan autonomi dalam aspek sumber manusia… kami juga mahukan kuasa, supaya Kerajaan Persekutuan boleh beritahu kami berapa jumlah (pekerja) yang dicadangkan, dan Sarawak akan melantik pekerja bagi pihak anda (persekutuan),” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Hari Bidan Antarabangsa 2023 di sini hari ini, beliau berkata autonomi itu akan secara beransur-ansur mengatasi nisbah semasa Sarawak iaitu seorang jururawat kepada setiap 342 pesakit.

Januari lepas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata KKM menyasarkan untuk membentangkan Kertas Putih Kesihatan di Parlimen pada pertengahan tahun ini semasa sidang kedua yang dijangka diadakan dari 22 Mei hingga 15 Jun.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni juga dilaporkan berkata bahawa semua cadangan yang dibuat oleh kerajaan Sarawak akan diambil kira dalam penyediaan kertas putih itu.

-- BERNAMA