SARAWAK USAHA CAPAI STATUS NEGERI MAJU 2030 TANPA JEJASKAN ALAM SEKITAR

21/03/2023 02:14 PM

SIBU, 21 Mac (Bernama) -- Usaha Sarawak untuk menjadi negeri maju dengan saiz ekonomi RM282 bilion menjelang 2030 tidak akan dilaksanakan dengan mengorbankan aspek alam sekitar, kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam dan Perumahan Negeri Michael Tiang Ming Tee.

Beliau berkata walaupun banyak aktiviti ekonomi telah dilaksanakan dan ada yang sedang rancang, kemampanan alam sekitar kekal sebagai salah satu teras dalam mencapai wawasan ini.

“Itu sebabnya kerajaan Sarawak meletakkan kelestarian alam sekitar sebagai salah satu daripada tiga tonggak utama dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030. Ini adalah rancangan bercita-cita tinggi untuk Sarawak. Kita melaksanakan perkara ini kerana mahu menyahut seruan global dalam menangani perubahan iklim,” katanya.

Berucap merasmikan Seminar Pelan Tindakan Perubahan Iklim anjuran Majlis Perbandaran Sibu (SMC) di sini hari ini, beliau berkata kerajaan negeri percaya aktiviti ekonomi yang mengambil kira alam sekitar akan memacu kemakmuran negeri lebih jauh.

Beliau berkata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah berusaha untuk mengubah model ekonomi dan meletakkan semula negeri ke arah menjadi ekonomi tenaga hijau utama di Asia Tenggara seperti penggunaan hidrogen, tenaga solar, hidroelektrik dan biofuel.

“Bagaimanapun kerajaan negeri masih memerlukan sokongan daripada pihak berkuasa tempatan untuk memainkan peranannya dengan baik dalam menggalakkan masyarakat menyelamatkan alam sekitar,” kata Tiang.

Beliau mengingatkan bahawa seruan untuk menangani perubahan iklim adalah lebih mendesak kerana sekiranya tiada apa yang dilakukan bagi menanganinya, lebih banyak bandar akan ditenggelami air, rumah dan nyawa akan musnah, makanan akan berkurangan, kemiskinan akan meningkat, dan akhirnya melemahkan ekonomi.

Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata masyarakat boleh memainkan peranan mereka dalam memerangi perubahan iklim dengan melakukan sesuatu yang mampu dilaksanakan, seperti pengurusan sisa yang baik.

Selain itu, beliau berkata majlis tempatan perlu menggalakkan masyarakat mengitar semula kerana ia membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, selain bekerjasama rapat dengan badan bukan kerajaan untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan kitar semula, menggalakkan perkongsian pengangkutan dan berhenti membuang sampah merata-rata.

-- BERNAMA