BELANJAWAN 2023: USAHA BAIK PULIH SEKOLAH, KLINIK PENTING BUAT SARAWAK - ABANG JO

25/02/2023 07:15 PM

KUCHING, 25 Feb (Bernama) -- Sarawak menghargai usaha Kerajaan Persekutuan membaik pulih sekolah serta klinik menerusi Belanjawan 2023 yang dibentangkan semalam.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kedua-dua prasarana rakyat itu sememangnya perlu diberikan perhatian terutamanya di negeri ini.

Katanya peruntukan pembangunan sebanyak RM5.6 bilion kepada Sarawak menerusi Belanjawan itu juga merupakan jumlah yang baik.

“Kerajaan Sarawak juga akan meneruskan usaha membantu rakyat termasuk usaha membina jalan pesisir, menyediakan tenaga elektrik serta bekalan air.

Walaupun Sarawak sudah mulakan usaha pembangunan dengan dana sendiri, jika Kerajaan Persekutuan nak beri lagi (dana) boleh la,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri satu acara di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2023 berkata menerusi belanjawan itu, Sabah dan Sarawak akan memperoleh peruntukan pembangunan iaitu masing-masing sebanyak RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.

Selain itu, Kerajaan menyasarkan untuk menyiapkan dengan kadar segera pembaikan 400 klinik dan 380 sekolah daif dengan peruntukan RM1.2 bilion.

 -- BERNAMA