INDUSTRI PELANCONGAN SARAWAK PERLU CEBURI TEKNOLOGI DAN INOVASI UNTUK MAJU - ABDUL KARIM

21/02/2023 09:25 PM

KUCHING, 21 Feb (Bernama) -- Pemain industri pelancongan di Sarawak perlu bergerak ke hadapan lebih pantas dengan memanfaatkan inovasi teknologi yang akan memaju negeri itu ke tahap era digital yang seterusnya.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Datuk Seri Abdul Karim berkata ia adalah penting kerana lonjakan sedemikian berlaku dalam industri itu sejak akhir-akhir ini dan teknologi pelancongan pintar akan mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan subsektor inovatif baharu.

“Dalam dunia perniagaan yang kompetitif, penting bagi kita menjadi inovatif dan kreatif yang akan memberikan kami kelebihan berbanding pesaing,” katanya ketika merasmikan pelancaran Hotel Kuching Park Hotel Pintar dan Digital Pertama di sini, hari ini.

Kuching Park Hotel ialah hotel pintar dan digital pertama di bandar ini, dengan tetamu hotel boleh mendaftar masuk dan mendaftar keluar tanpa perlu melalui proses konvensional menerusi teknologi digital terkini dan aplikasi dalam talian.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak berkepentingan Hotel Kuching Park kerana menjadi perintis dalam menggunakan inisiatif pintar dan teknologi digital yang menawarkan pemerkasaan, kemudahan yang lebih besar dan kebolehcapaian untuk pengunjung ke Sarawak,” katanya.

Abdul Karim berkata inisiatif itu penting untuk memastikan industri pelancongan yang berdaya tahan dan mampan bersedia menghadapi cabaran masa depan atau krisis selain mampu menghadapi sebarang cabaran termasuk wabak yang membawa maut, jika usaha mengurangkannya dijalankan dengan baik.

“Ia juga meningkatkan bahagian pasaran anda, menjana keuntungan dan membantu menyelesaikan masalah dalam menyediakan pengalaman pelanggan terbaik bersama anda,” katanya.

Di bawah strategi Pelancongan Pintar dalam Dasar Pelancongan Negara, Karim berkata hasil negara boleh meningkat empat kali ganda daripada USD25 bilion kini kepada USD 110 bilion menjelang 2030.

-- BERNAMA