UDA TELITI PEMBANGUNAN LEBIH BANYAK PROJEK HARTANAH DI SARAWAK - EWON

Datuk Ewon Benedick
09/02/2023 05:54 PM

KUCHING, 9 Feb (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi UDA Holdings Berhad (UDA) akan meneliti kemungkinan membangunkan lebih banyak projek hartanah khususnya di kawasan luar bandar Sarawak.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata projek pembangunan bersepadu pertama UDA di Sarawak, Neu Pendington, menjadi permulaan kepada agensi kerajaan itu untuk mengambil bahagian dalam menyediakan ruang niaga serta meningkatkan pembangunaan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) di Bumi Kenyalang. 

“Dalam kunjungan hormat ke etas Timbalan Premier (Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan) hari ini,  beliau juga mencadangkan UDA untuk melihat pembangunan di daerah lain di Sarawak dan menyediakan kemudahan ruang niaga kepada usahawan di luar bandar.

“Saya ingin melihat UDA mengambil bahagian dalam pembangunan infrastruktur kepada penjaja dan peniaga kecil di luar bandar dan saya amat yakin perancangan (tersebut) dapat dimulakan tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan galeri jualan UDA di Sarawak, di sini, hari ini. 

Beliau memaklumkan projek Neu Pendington, hasil kerjasama UDA dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), kini berada di peringkat pendokumentasian bagi kelulusan pelan pembangunan dan kerja-kerja pembinaan fasa pertama dijangka bermula tahun depan.

Menurutnya, projek dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM496 juta yang merangkumi dua blok apartmen, kedai pejabat berstrata serta satu blok hotel itu akan merancakkan ekonomi negara selari dengan konsep Malaysia Madani.  

Dalam pada itu, ditanya mengenai peruntukan KUSKOP dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Feb ini, Ahli Parlimen Penampang itu berkata beliau akan memberi tumpuan lebih terhadap inisiatif pembangunan usahawan di Sabah dan Sarawak. 

Dilaporkan pada 17 Jan lalu, KUSKOP telah memohon peruntukan pembangunan sebanyak RM666 juta dari Kementerian Kewangan melibatkan pelaksanaan 185 program menerusi Belanjawan 2023. 

-- BERNAMA