PROJEK BEKALAN AIR TG MANIS DIJANGKA BEROPERASI SUKU KETIGA TAHUN INI

Datuk Julaihi Narawi
04/02/2023 03:51 PM

SIBU, 4 Feb (Bernama) -- Projek Bekalan Air Tanjung Manis dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi.

Menurut beliau, Lembaga Air Sibu (SWB) sedang menjalankan kerja-kerja pemulihan fasiliti sedia ada termasuk saluran paip, stesen penggalak dan loji rawatan air serta pengujian sebelum ia ditauliahkan.

“Kita perlu memeriksa dengan teliti sistem yang ada supaya berkeadaan baik dan sempurna sebelum ia sedia untuk beroperasi kelak,” katanya semasa melawat tapak kolam pengambilan air mentah di kawasan Sungai Sadit dekat sini, hari ini.

Projek itu akan menghasilkan dan membekalkan air mentah dan terawat ke Tanjung Manis dan kawasan sekitarnya di Belawai, Jerijeh, Rejang, Pulau Bruit, dan Serdeng.

Sebelum ini, projek bekalan air itu belum ditauliah berikutan masalah pengambilan air mentah.

Isu itu telah diselesaikan dengan siapnya tapak pengambilan langsung air sungai berkapasiti 20 juta liter sehari (MLD) di Sungai Sadit pada Ogos 2022.

Tapak itu mempunyai kolam sebesar 75 meter x 50 meter x 3 meter yang telah dibina dengan kos sebanyak RM16.8 juta dan telah dianugerahkan kepada Hock Seng Lee Bhd melalui tender terbuka dan mula dibina pada 1 Julai 2020.

Pada masa ini, permintaan air terawat di Tanjung Manis dan kawasan sekitarnya ialah kira-kira 8.4 MLD dan dibekalkan dari Loji Rawatan Air Bayong Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

Dengan beroperasinya Projek Bekalan Air Tanjung Manis, kawasan Tanjung Manis dan sekitarnya akan mempunyai dua sumber bekalan air terawat.

-- BERNAMA