GARIS PANDUAN PERLU UNTUK TENTUKAN BIDANG KUASA AGENSI PERSEKUTUAN DAN NEGERI -- NANTA LINGGI

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
05/01/2023 06:11 PM

KUCHING, 5 Jan (Bernama) -- Satu garis panduan perlu disediakan bagi menentukan perincian berhubung agihan bidang kuasa, peranan dan tanggungjawab di antara agensi-agensi persekutuan dan agensi-agensi dari Sabah dan Sarawak yang terlibat dalam pelaksanaan projek di negeri berkenaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ini susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sarawak dan JKR Negeri Sabah sebagai Jabatan Teknik Kerajaan.

"Keputusan ini melibatkan pindaan Arahan Perbendaharaan 182 yang sebelum ini menetapkan semua Jabatan Bukan Teknik hendaklah mendapatkan perkhidmatan daripada Jabatan Teknik yang diiktiraf sahaja iaitu JKR Malaysia dan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) bagi melaksanakan semua projek Kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya pengumuman Perdana Menteri itu merupakan satu pengiktirafan yang membolehkan kedua-dua negeri itu diberi kuasa mentadbir urus projek-projek pembangunan persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta.

Menyentuh kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) yang keseluruhannya bernilai RM26.2 bilion, beliau berkata Fasa Satu projek itu untuk LPB Sarawak sudah mencapai 91 peratus siap sementara LPB Sabah pula sudah 73 peratus siap. 

Nanta berkata keseluruhan Fasa Satu LPB Sarawak dijangka siap pada akhir tahun ini kecuali pakej 11 melibatkan pembinaan lebuh raya di antara Lambir dan Beluru berdekatan Miri yang dijangka siap pada 2024, sementara Fasa Satu LPB Sabah dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2025.

“Fasa Dua LPB Sarawak pula akan melibatkan jajaran Miri-Limbang-Lawas (Lebuhraya Transborneo), Fasa Kedua Projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) dan fasa 1B bagi projek LBU Sabah yang melibatkan keseluruhan anggaran kos projek bernilai RM26.2 bilion," katanya.

-- BERNAMA