JBPM CADANG BINA LIMA BALAI BOMBA BAHARU DI SARAWAK

30/12/2022 02:52 PM

KUCHING, 30 Dis (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bercadang membina lima buah balai bomba baharu di Sarawak. 

Pengarah JBPM Sarawak Datuk Khirudin Drahman berkata balai bomba baharu itu adalah di Julau, Lubok Antu, Dalat, Sungai Asap dan Batu Kawa. 

Beliau berkata kesemua lima balai yang dicadangkan itu merupakan balai kategori D yang akan mempunyai 26 anggota bomba.

"Tetapi (cadangan pembinaan balai baharu itu) belum lagi mendapat kelulusan, mungkin perlu sedikit masa lagi untuk diluluskan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Bomba dan Penyelamat Sarawak di sini hari ini.

Khirudin berkata cadangan untuk membina balai baharu itu dibuat setelah hasil kajian pihaknya terutamanya dari aspek menangani risiko bencana serta kebakaran di negeri itu. 

 "Setakat ini, kami secara keseluruhannya mempunyai sebanyak 38 balai bomba di seluruh Sarawak termasuk balai bomba Asajaya yang baharu siap dan akan mula beroperasi," katanya.

-- BERNAMA