NILAI DAGANGAN MALAYSIA CATAT PRESTASI CEMERLANG - MATRADE

20/12/2022 04:10 PM

KUCHING, 20 Dis (Bernama) -- Nilai dagangan Malaysia berprestasi cemerlang dengan mencatatkan jumlah tertinggi dalam eksport, import dan lebihan dagangan bagi tempoh Januari hingga November tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pecutan Eksport) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Sharimahton Mat Saleh berkata nilai dagangan meningkat 29.9 peratus kepada RM2.613 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Selain itu, eksport meningkat 27.2 peratus kepada lebih RM1.42 trillion, menunjukkan aktiviti perdagangan Malaysia kekal berdaya saing walaupun dihimpit kesukaran dalam persekitaran global yang mencabar.

“Eksport negara bagi makanan yang diproses mencatatkan pertumbuhan sebanyak 16.4 peratus dengan nilai sebanyak RM 25.75 bilion berbanding RM 22.12 billion pada tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Kita dapat melihat permintaan terhadap makanan diproses khususnya produk halal di pasaran global dijangka akan terus berkembang,” katanya semasa berucap pada Seminar Kesedian Pasaran Halal dan Peluang Eksport di sini, hari ini.

Sharimahton berkata MATRADE sebagai agensi penggalakan perdagangan negara komited untuk sentiasa mengenal pasti platform yang sesuai dan berkesan untuk mewujudkan akses pasaran bagi pengeksport Malaysia menembusi pasaran luar negara.

“Dalam konteks ekosistem Halal Malaysia pula, Matrade menerajui usaha dalam pengantarabangsaan produk dan perkhidmatan Halal Malaysia,” katanya.

Justeru itu, Sharimahton meminta syarikat-syarikat di Sarawak untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan untuk menembusi pasaran global.

MIHAS edisi ke-19 yang dianjurkan secara hidbrid dengan tema “Menerajui Dunia Halal” akan berlangsung  selama tiga hari bermula 12 hingga 15 September tahun depan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

MIHAS merupakan sebuah platform dagangan bagi  pengilang, pembekal dan pengedar Halal dari seluruh dunia untuk berkumpul, bertemu, membuat rangkaian dan berurus niaga.

-- BERNAMA