BENARKAN PEKEBUN KECIL BUMIPUTRA SARAWAK MAJU TANAH NCR : DOPPA

19/12/2022 07:18 PM

​KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Persatuan Penanam Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) menggesa kerajaan untuk mewujudkan satu sistem yang akan membolehkan pekebun kecil orang asal di Sarawak terus mengusahakan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka. 

Presidennya, Napoleon R. Ningkos berkata persatuan itu bersedia bekerjasama dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi (MPC) berhubung beberapa isu yang belum diselesaikan yang melibatkan pekebun kecil Dayak di Sarawak. 

"Tarikh pemutusan dasar Tiada Penebangan Hutan, Tiada Gambut dan Tiada Eksploitasi (NDPE) kebangsaan pada 31 Dis 2019 merupakan perkara paling penting yang perlu ditangani berkaitan agenda Minyak Sawit Mampan Malaysia.

"DOPPA akan terus menggalakkan kaum Dayak serta masyarakat orang asal untuk terus menanam kelapa sawit di tanah NCR mereka sebagai satu cara hidup selain menyokong matlamat kerajaan negeri bagi meningkatkan sosioekonomi luar bandar melalui penanaman kelapa sawit," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Napoleon turut memohon agar MPC meneruskan insentif penanaman semula serta penanaman baharu kepada semua pekebun kecil melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berikutan kos input pertanian yang tinggi ketika ini terutamanya baja dan agrokimia lain.

"DOPPA menggesa MPOB untuk mengkaji semula kriteria bagi permohonan insentif yang turut memerlukan bukti pemilikan dalam bentuk hak milik tanah untuk melayakkan insentif tersebut.

"Persatuan menjelaskan walaupun tanah itu telah diwartakan oleh kerajaan negeri di bawah Kanun Tanah Sarawak Wilayah Orang Asal, tidak semua tanah berstatus NCR telah dianugerahkan hak milik tanah," katanya.

Persatuan itu juga bimbang mengenai pengenalan Usaha Wajar Mampan Korporat Kesatuan Eropah (EU), Peraturan Penebangan Hutan EU dan Peraturan Buruh Paksa EU mengenai eksport produk akhir minyak sawit ke negara-negara Eropah.

Beliau berkata penguatkuasaan Parlimen EU terhadap peraturan itu dilihat sebagai langkah perlindungan bagi produk minyak boleh dimakan EU seperti minyak sesawi dan minyak bunga matahari. 

"Tindakan EU terhadap minyak sawit mungkin memberi kesan negatif yang ketara kepada pekebun kecil di Sarawak. 

"DOPPA menekankan bahawa peraturan itu dibangunkan tanpa penyertaan semua pihak yang terlibat dalam rantaian bekalan minyak sawit Malaysia," katanya.

-- BERNAMA