ADUN Batu Lintang sedia hadapi tindakan undang-undang

See Chee How
16/08/2022 04:03 PM

KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lintang See Chee How yang meninggalkan Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk menjadi wakil rakyat Bebas, bersedia menghadapi sebarang tindakan undang-undang susulan tindakannya keluar dari parti itu.

Walaupun berharap untuk terus menjalin hubungan baik dengan bekas pemimpin dan parti itu, beliau tidak menolak kemungkinan PSB membawa perkara berkenaan ke mahkamah sambil menambah, pasukan peguamnya akan bersedia menghadapi kemungkinan tersebut.

“Saya harap (keputusan keluar PSB) dapat (diterima oleh parti) tapi jika ada sebarang tindakan undang-undang, kita (akan) lihat perkara itu,” katanya yang menjadi ADUN Batu Lintang selama tiga penggal dalam sidang media di pusat khidmatnya di sini hari ini.

Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh dalam kenyataan pada Ahad berkata, parti itu akan melihat semua langkah boleh diambil terhadap See, yang didakwa telah membuat akujanji lisan dan bertulis sebelum dipilih sebagai calon PSB pada Pilihan Raya Negeri lepas.

Menurut Wong, See juga perlu membayar pampasan kepada parti sekiranya beliau memilih untuk meletakkan jawatan selepas memenangi kerusi itu sebagai calon PSB.

Peletakan jawatan See daripada PSB untuk menjadi ADUN Bebas diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar pada Ahad lepas.

See berkata keputusan untuk meninggalkan PSB adalah bagi memberi fokus untuk berkhidmat kepada pengundinya tanpa terikat dengan parti politik dan menjalin kerjasama dengan mereka yang berkongsi misi sama demi kebaikan Sarawak dan rakyatnya.

“Dalam masa terdekat, saya cuba untuk tidak terlibat dalam politik kepartian, mengekalkan kemerdekaan bekerja dengan NGO, bekerjasama dengan kumpulan berbeza dan semua orang dan sesiapa sahaja asalkan mereka boleh menyumbang untuk menjadikan Sarawak lebih baik,” katanya.

Beliau berkata keputusan dibuatnya itu juga tiada kaitan dengan undang-undang antilompat yang akan dikuatkuasakan tidak lama lagi atau hasrat menubuhkan parti baharu dan beliau tidak berminat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Sama ada akan menjadi wakil rakyat yang mesra pembangkang atau kerajaan, beliau berkata: “Saya sentiasa mesra dengan semua. Tidak wujud persoalan mesra kepada sesiapa tapi untuk mengajak semua orang bekerjasama demi kemakmuran Sarawak”.

See memenangi kerusi DUN Batu Lintang ketika mewakili PKR sejak 2011 dan mempertahankan kerusi itu atas tiket PSB pada PRN ke-12 yang lepas.

-- BERNAMA