Speaker DUN Sarawak umum ADUN Batu Lintang ahli Bebas

14/08/2022 03:15 PM

KUCHING, 14 Ogos (Bernama) -- Parti Sarawak Bersatu (PSB) hilang satu kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How mengumumkan menjadi wakil Bebas, kata Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar.

Mohamad Asfia berkata See telah menghantar sepucuk surat kepadanya pada Jumaat lepas (12 Ogos), yang memaklumkan beliau telah meletakkan jawatan sebagai ahli PSB berkuat kuasa serta-merta tanpa menyatakan sebarang alasan. 

Menurut beliau keputusan See itu menjadikan PSB kini tinggal tiga kerusi, manakala DAP kekal dua, Gabungan Parti Sarawak (76 kerusi) dan Bebas (satu kerusi). 

“Dalam surat itu, beliau (See) tidak menerangkan mengenai alasan meletakkan jawatan dalam parti itu. Kita terima (keputusannya) dan kita akan susun semula barisan pembangkang (dalam DUN). 

“Dia tak melompat (parti) dari PSB ke parti lain tetapi dia hanya meletak jawatan (dalam PSB dan bergerak) sebagai (wakil) Bebas,” katanya dalam sidang media di bangunan DUN hari ini.

Mohamad Asfia berkata menerusi surat itu, ADUN Batu Lintang berkenaan memaklumkan beliau akan kekal berkhidmat untuk penduduk kawasannya dan semua rakyat Sarawak meskipun bergerak sebagai wakil rakyat Bebas. 

Menyifatkan wakil rakyat itu sebagai disenangi, bijaksana dan cekap, Mohamad Asfia yakin See yang merupakan ahli Jawatankuasa Perundingan dalam menasihati Dewan berhubung Perjanjian Malaysia 1963, dapat terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ADUN dengan baik. 

Dalam pada itu, Mohamad Asfia berkata persidangan ketiga DUN negeri itu dijangka berlangsung pada November ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak lepas, See mempertahankan kerusi N11 Batu Lintang selepas memperoleh 4,420 undi menewaskan calon GPS, Sih Hua Tong yang memperoleh 4,327 undi, Cherishe Ng (PKR) 1,823 undi, Voon Lee Shan Parti Bumi Kenyalang (PBK) 1,570 undi dan Alex Leong Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) 187 undi.

Sementara itu, Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soo Koh berkata See sepatutnya meletakkan jawatan sebagai ADUN selepas meninggalkan parti tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, Wong berkata berdasarkan perjanjian secara lisan dan bertulis yang dibuat oleh See sebelum dipilih sebagai calon parti itu pada pilihan raya negeri sebelum ini, See juga harus membayar ganti rugi kepada parti berkenaan jika beliau memilih untuk keluar parti selepas memenangi kerusi itu sebagai calon PSB.

“PSB sangat kesal dengan tindakan YB (Yang Berhormat) See meletakkan jawatan sebagai ahli selepas beliau memenangi kerusinya Batu Lintang dalam Pilihan Raya Sarawak lepas sebagai wakil PSB.

“YB See juga menyedari komitmennya, secara lisan dan bertulis, kepada PSB sebelum beliau dipilih menjadi calon PSB bagi kawasan DUN Batu Lintang,” katanya. 

Justeru, Wong menambah PSB akan mengambil semua tindakan dan langkah penyelesaian yang perlu. 

-- BERNAMA