LAKMNS mahu perluas Tanah Perkuburan Islam Semariang Kuching

11/08/2022 02:22 PM

KUCHING, 11 Ogos (Bernama) -- Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) sedang berusaha untuk memperluaskan kawasan Tanah Perkuburan Islam Semariang yang dijangka penuh dalam tempoh lima tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata perbincangan mengenai perkara berkenaan bersama Jabatan Tanah dan Survei Sarawak sudah dibuat memandangkan 70 peratus daripada 25 hektar tanah perkuburan di situ sudah digunakan. 

“Kalau ikut kajian, secara purata lapan jenazah dikuburkan sehari, jadi dalam tempoh empat hingga lima tahun lagi akan penuh tanah ini. Oleh itu, kami dah buat usaha untuk memohon tanah di sekitar perkuburan ini dan ia akan diuruskan pihak Jabatan Tanah dan Survei. 

“Keluasan tanah belum tahu lagi sebab masih berbincang. Dalam masa terdekat ini mereka (jabatan tanah) akan beri kami hak milik kepada tanah yang dah dimohon (LAKMNS),” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian gazebo mesra alam di Tanah Perkuburan Islam Semariang hari ini. 

Menurutnya buat masa ini, tanah perkuburan Islam terbesar di Sarawak itu sudah menempatkan hampir 16,500 kubur.

Dalam pada itu, Abang Abdul Wahap memaklumkan sebuah bangunan Kompleks Perkuburan Islam Semariang yang beroperasi setiap hari dijangka siap pada hujung tahun ini sebagai pusat bagi memudahkan orang ramai mempelajari ilmu fardu kifayah. 

Mengenai pembinaan gazebo, Abang Abdul Wahap berkata ia menggunakan teknologi solar untuk menjana pencahayaan pada waktu malam, selain menjadi inisiatif bagi pengindahan landskap serta alam sekitar oleh LAKMNS. 

“Kami menggunakan konsep wakaf bagi pembinaan gazebo ini dan fasa pertama kami sudah siap bina dua gazebo, manakala bagi fasa kedua, kami akan bina lagi tiga gazebo. Setiap gazebo bernilai antara RM60,000 ke RM90,000.

“Reka bentuk bumbung yang membolehkan air hujan ditadah ke dalam tangki yang menjadi sebahagian daripada struktur gazebo. Air hujan ini boleh digunakan untuk untuk menyiram tanaman, mencuci dan sebagainya,” katanya. 

Beliau turut mengalu-alukan sumbangan daripada syarikat swasta bagi pembinaan gazebo itu. 

-- BERNAMA