Sarawak di landasan tepat capai sasaran 1.2 juta pelancong

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (File pix)
10/08/2022 07:38 PM

KUCHING, 10 (Bernama) -- Sarawak berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran ketibaan 1.2 juta pelancong tahun ini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau yakin sasaran berkenaan mampu dicapai kerana negeri itu telah menerima ketibaan sejumlah 703,891 pelancong setakat bulan lepas.

“Separuh tahun pertama telah berlalu dan kita telah mencapai lebih 700,000 (ketibaan pelancong), jadi saya rasa dengan mudah kita boleh melepasi sasaran 1.2 juta pelancong.

“Saya yakin sebab berdasarkan rekod lepas separuh tahun kedua akan menyaksikan lebih ramai yang datang terutama pada Oktober, November dan Disember,” katanya dalam sidang akhbar sempena Borneo Music Festival Live 2022 di sini hari ini.

Dijadual berlansung pada 9 dan 10 Sept di Kampung Budaya Sarawak di sini, festival itu menampilkan antara lain Alan Walker dari United Kingdom dan DJ Soda dari Korea Selatan.

Sementara itu, Abdul Karim berkata acara muzik berskala besar seperti Borneo Music Festival Live 2022 itu akan mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama di rantau ini.

“Tahun ini, kita menyaksikan banyak acara muzik dan seni popular diadakan di Sarawak seperti Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia atau Rainforest World Music Festival (RWMF). Banyak lagi acara selepas ini termasuk Festival Jazz Kuching Waterfront dan Pesta Muzik Rakyat Miri.

“Ini juga menunjukkan bahawa Sarawak adalah destinasi ideal bagi pelancongan muzik di Malaysia dan di rantau ini sama ada dunia muzik jazz, rakyat mahupun jenis muzik yang lain,” katanya

 -- BERNAMA