‘Please Mr. Postman’ - Misi bawa khabar ke pendalaman Sarawak

Kredit : Pos Malaysia
09/08/2022 10:36 AM

Oleh Muhammad Ammar Shafiq Hamzah

KUCHING, 9 Ogos (Bernama) -- Sama seperti lagu popular tahun 70-an ‘Please Mr. Postman’ yang dipopularkan duo vokal dari Amerika Syarikat, ‘The Carpenters’, ketibaan posmen sememangnya sering ditunggu-tunggu.

Bagi Posmen Komuniti di Sarawak, bersama kantung yang dibawa, seribu khabar berita digalas di bahu mereka - ada yang membawa harapan, khabar gembira daripada insan di perantauan malah ada juga yang membawa perkhabaran sedih.

Tanggungjawab Posmen Komuniti mungkin lebih mencabar dan sukar kerana perlu berhadapan pelbagai rintangan ke destinasi dituju terutamanya di kawasan luar bandar di Sarawak yang belum mempunyai perhubungan jalan raya yang baik.

Namun demi bakti kepada negara dan masyarakat, Posmen Komuniti tetap cekal menggalas tanggungjawab itu untuk memastikan kiriman ke lokasi terpencil di Bumi Kenyalang itu tiba ke destinasi.    

Misi ‘mengemudi’ cabaran geografi serta bentuk muka bumi pendalaman Sarawak di bahu Posmen Komuniti yang ditubuhkan pada tahun 2010 bagi membolehkan penyerahan item pos diperluas di luar kawasan serahan posmen konvensional.

“Cabaran mereka ini sukar, ada di antara mereka yang perlu  menggunakan laluan sungai yang ada buaya dengan menggunakan perahu untuk membuat serahan,” menurut Pengurus Pos Malaysia Sarawak, Bong Tung Hu, kepada Bernama baru-baru ini. 

Jalan perhubungan kurang baik seperti melalui jalan balak, ladang sawit, tanah merah berbatu juga merupakan antara cabaran yang dilalui Posmen Komuniti ketika melakukan serahan, tambah Bong.

“Malah Posmen Komuniti di sekitar kawasan Siburan juga perlu melalui lereng gunung juga mendaki jalan gunung yang berbatu,” katanya.

Posmen Komuniti telah ditubuhkan di bawah Program Pelan Transformasi Pos Sabah dan Sarawak (PTPSS) dan merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Menurut Bong, selain menyediakan khidmat pos asas buat masyarakat luar bandar, PTPSS juga berjaya menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk luar bandar apabila Posmen Komuniti dipilih serta dilantik dalam kalangan penduduk setempat.

Menurutnya, perjawatan mereka juga adalah berdasarkan kontrak dan mereka boleh berkhidmat sehingga berusia 65 tahun.

Berbeza dengan posmen konvensional, Bong berkata Posmen Komuniti tidak perlu berada di pejabat tetapi hanya di lapangan membuat serahan dan bekerja sehingga lima hari seminggu.

Mengulas lanjut, Bong berkata, semenjak dilancarkan 12 tahun dahulu, program ini telah berjaya meningkatkan liputan serahan di kawasan luar bandar sekali gus menjadi manifestasi kepada tema sambutan Hari Kebangsaan 2022 iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

Menurutnya, komitmen Kerajaan Persekutuan membangun sistem komunikasi serta memacu perkembangan perkhidmatan pos di Sarawak juga boleh dilihat apabila jumlah Posmen Komuniti di Sarawak telah meningkat semenjak penubuhannya pada 2010.

Katanya, pada tahun 2010, Sarawak hanya mempunyai seramai 200 orang Posmen Komuniti dan kini jumlahnya telah meningkat kepada 265 orang.

“Tapi yang tidak dapat saya lupa ialah apabila ada kakitangan Pos Malaysia sendiri yang berminat nak jadi Posmen Komuniti selepas mereka bersara. Saya cukup kagum dengan komitmen dan rasa tanggungjawab mereka untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dalam kapasiti sebagai Posmen Komuniti,” katanya. 

-- BERNAMA