Program MEKAR JPN Jelajah AKM Sarawak dapat sambutan memberangsangkan

07/08/2022 08:00 PM

KUCHING, 7 Ogos (Bernama) -- Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang melabuhkan tirai setelah tiga hari berkampung di Dataran Perayaan Petra Jaya sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Sarawak, mendapat sambutan memberangsangkan.

Program itu adalah antara inisiatif JPN bagi menyantuni rakyat sejak 2017 dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan seperti pendaftaran kelahiran, kematian dan kad pengenalan serta khidmat nasihat terutama kepada penduduk di kawasan pedalaman serta luar bandar.

Pengarah JPN Sarawak Abang Noraffian Abang Ibrahim berkata setakat 3 petang ini, sejumlah 63 permohonan bagi menggantikan kad pengenalan telah diproses manakala seramai 70 pelanggan mendapatkan khidmat nasihat.

Beliau berkata tiga permohonan kad pengenalan buat kali pertama bagi mereka yang berumur 12 tahun telah diproses dan diserahkan kepada pelanggan manakala dua cabutan sijil lahir telah dilakukan untuk menggantikan yang lama kerana mengalami kerosakan.

“Sepanjang tiga hari ini, Program MEKAR yang menggunakan perkhidmatan bas mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang datang ke Jelajah AKM.

“Pelanggan boleh membuat penukaran kad pengenalan sekiranya kad pengenalan lama mengalami kerosakan cip tanpa perlu ke pejabat JPN dan hanya menunggu selama 30 minit setelah pemohonan diluluskan,’’ katanya kepada Bernama di sini hari ini

Abang Noraffian berkata pada tahun ini, perkhidmatan bas MEKAR menyantuni rakyat di kawasan Sematan, Lachau, Sri Aman, Song, Lingga, Song serta Sibu Jaya dan menjelang September depan, ia akan diperluas ke utara Sarawak seperti Limbang dan Lawas.

“Kita mahu semua penduduk Sarawak tahu bahawa JPN menawarkan perkhidmatan bergerak bagi memudahkan mereka mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu ke pejabat JPN yang jauh dari tempat tinggal mereka seperti di kawasan yang sukar diakses,” katanya.

Untuk rekod, terdapat lapan  inisiatif di bawah Program MEKAR iaitu Bas Mobile, Program MyDaftar, Program MyTentera, Unit Khas Bergerak (UKB) Sabah dan Sarawak, Mobile Ehsan, pameran dan kaunter khidmat nasihat, program taklimat JPN serta kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan.

-- BERNAMA