KIK mampu wujudkan budaya kerja mantap - Setiausaha Persekutuan Sarawak

Datuk Amir Omar
02/08/2022 05:51 PM

KUCHING, 2 Ogos (Bernama) -- Pelaksanaan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dapat mewujudkan budaya kerja yang mantap, berinovasi, kreatif dan berpandangan jauh bagi meningkatkan kualiti kerja serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan agensi kerajaan kepada masyarakat.

Setiausaha Kerajaan Persekutuan Sarawak Datuk Amir Omar berkata KIK adalah platform untuk agensi atau jabatan persekutuan membudayakan kreativiti dan inovasi bagi penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan agensi kerajaan agar sentiasa memenuhi kehendak dan harapan pelanggan.

Beliau berkata KIK juga harus diterapkan dengan konsep ‘knowledge-based’ dan ‘creativity driven’ bagi membolehkan jabatan atau agensi menghasilkan inovasi yang memberi nilai tambah kepada produk atau perkhidmatan.

"Saya yakin, pelbagai dimensi inovasi mampu menjadi penyumbang solusi atau menjadi sebahagian penyedia penyelesaian terhadap ekosistem persekitaran supaya dapat mengangkat perkhidmatan awam terus relevan dan selari dengan keperluan perkhidmatan dan amalan kerja semasa yang semakin mencabar masa kini.

"Dengan itu, impak dan sumbangan KIK terhadap pertumbuhan dan pengukuhan ekonomi negara, pembangunan sosial serta kesejahteraan rakyat akan lebih berkesan dan boleh dimanfaatkan oleh semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Konvensyen KIK peringkat negeri Sarawak yang diadakan di Auditorium Bangunan Sultan Iskandar di sini, hari ini.

Jabatan Kimia Malaysia Negeri Sarawak muncul johan dalam konvensyen itu manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi oleh Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sarawak dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak (Balai Bomba dan Penyelamat Saratok).

-- BERNAMA