Kertas kerja rancangan RADDA dibentang dalam mesyuarat Kabinet Sarawak pada September

Datuk Len Talif Salleh
01/08/2022 04:28 PM

SIBU, 1 Ogos (Bernama) -- Kertas kerja bagi rancangan pembangunan di bawah bidang kuasa Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Sarawak pada September ini untuk pengesahan, kata Pengerusinya Datuk Len Talif Salleh.

Sehubungan itu, beliau berkata draf rancangan tersebut perlu disiapkan menjelang akhir bulan ini dan diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kami perlu siapkan dengan cepat. Sepatutnya ia tiada masalah kerana kami telah mendapat semua data diperlukan,” katanya ketika menghadiri Bengkel RADDA di sini hari ini.

Bengkel pembangunan khas selama tiga hari bermula hari ini itu, dihadiri 200 peserta daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi termasuk pemimpin masyarakat daripada 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bahagian Sarikei dan Mukah bagi membincangkan projek pembangunan yang akan dilaksanakan di bawah bidang kuasa RADDA.

 Sesi tersebut memfokuskan kepada projek yang berpaksikan rakyat dengan penekanan diberi kepada pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, air, elektrik dan telekomunikasi bertujuan meningkatkan sosioekonomi serta menonjolkan kelebihan dan keunikan kawasan delta Rajang.

Len Talif yang juga Timbalan Menteri Perancang Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar berkata RADDA telah diperuntukan RM1.5 bilion oleh kerajaan negeri bagi melaksanakan projek pembangunan di kawasan tersebut.

“Menerusi bengkel ini kami akan memastikan bahawa apa juga projek pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan RADDA tidak bertindih atau menduplikasi sebarang projek yang telah dirancang oleh jabatan atau agensi lain, sebaliknya mengisi kekosongan yang ditinggalkan mereka,” katanya.

Meliputi kira-kira 11,000 kilometer persegi, kawasan RADDA adalah lebih kecil berbanding Kawasan Pembangunan Ulu Rajang (URDA) yang seluas 100,000 kilometer persegi, tetapi mempunyai populasi hampir 300,000 penduduk berbanding 169,000 penduduk sebelum ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan penubuhan RADDA pada Jun lepas sebagai sebahagian usaha kerajaan negeri memastikan tiada kawasan di Sarawak yang ketinggalan dari segi pembangunan menjelang 2030. 

-- BERNAMA