Lebih 250,000 pengunjung dijangka meriahkan Festival WAK 2022 Oktober ini

01/08/2022 03:09 PM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 1 Ogos (Bernama) -- Warga Semenanjung, Sabah dan luar negara dijemput untuk memeriahkan program What about Kuching atau WAK 2022 yang akan berlangsung sepanjang Oktober ini, setelah dua tahun dihentikan akibat pandemik COVID-19. 

Pengasas WAK, Donald Tan berkata festival yang telah memasuki siri keenam tahun ini menjangkakan kehadiran lebih 250,000 pengunjung, dengan penglibatan kira-kira 50 pemain serta komuniti kreatif dari aspek kesenian, kebudayaan dan gaya hidup.

“Sebelum ini, kebanyakan pengunjung festival ini dari Sarawak, namun kami mahu penglibatan pengunjung luar seperti Semenanjung dan sebagainya kerana mereka akan turut membawa kenalan atau ahli keluarga, jadi ia menyumbang kepada jumlah pengunjung ke negeri ini.

“Lebih 100 pengisian serta aktiviti menarik dan sarat pengetahuan dari persembahan hingga bengkel dihidangkan buat pengunjung. Senarai penuh aktiviti sepanjang festival akan dikeluarkan 1 Sept ini,” katanya kepada Bernama.

Bertemakan ‘Dari Komuniti untuk Komuniti’, WAK 2022 yang digerakkan oleh komuniti merupakan platform bagi meraikan kesenian, kebudayaan dan gaya hidup masyarakat Sarawak dengan program pelbagai genre diadakan di beberapa kawasan di bandar raya ini.

Tan berkata selain itu, komuniti kreatif luar negara yang terkenal dari Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura turut dijemput untuk mengambil bahagian dalam festival ini dan mereka akan menyediakan bengkel latihan sebagai tarikan kepada pengunjung.

Katanya WAK memberi peluang kepada pemain industri seni, budaya dan gaya hidup tempatan untuk meluaskan empayar ke peringkat seterusnya dengan mengadakan sesi jaringan dengan pemain industri luar negara.

Sementara itu, beliau yang juga merupakan pengurus WAK berharap lebih banyak syarikat swasta tampil untuk membantu menjayakan program yang memberi faedah kepada pemain industri tempatan ini. 

Buat masa ini, WAK adalah inisiatif swasta dan secara rasminya menerima dana daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, katanya.

-- BERNAMA