Naib Presiden PBB nasihat generasi muda miliki pengalaman mencukupi sebelum berpolitik

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)
25/07/2022 11:03 PM

KUCHING, 25 Julai (Bernama) -- Generasi muda dinasihatkan untuk mendapatkan pengalaman dan kebijaksanaan secukupnya sebelum menceburkan diri dalam bidang politik, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah. 

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata berdasarkan pengalamannya, golongan muda perlu membina kerjaya yang stabil terlebih dahulu sebelum memasuki arena politik pada usia lewat 30-an.

“Tetapi, jika anda baru dan cuba membina kerjaya anda dalam politik, ia akan menjadi sangat sukar. (Sertai politik) hanya selepas anda mencapai usia lewat 30-an atau 40-an. Ini pemerhatian peribadi saya tetapi tidak bermakna saya tidak bersetuju (jika sertai politik lebih awal). Semuanya bergantung kepada individu.

Abdul Karim Rahman Hamzah (File pix)

“Mempunyai kerjaya dan selepas 10 hingga 20 tahun, anda mungkin mempunyai banyak pengalaman dalam kehidupan. Kemudian baru anda boleh berada dalam politik dan bertanding dalam pilihan raya,” katanya pada sidang media di Muzium Budaya Borneo (BMC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan daripada bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) Jocky Jim yang berkata sebuah parti baharu yang mewakili anak muda di Sarawak akan ditubuhkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Sementara itu, Abdul Karim berkata Muzium Sarawak yang kini dalam proses pengubahsuaian, dijangka dibuka semula kepada orang ramai dalam tempoh dua tahun.

Bagaimanapun, beliau menggesa pihak Jabatan Muzium Sarawak untuk memastikan muzium lama itu bersedia menerima pengunjung lebih awal daripada itu.

-- BERNAMA