Premier Sarawak cadang jejak warisan diwujudkan di Sibu

Tan Sri Abang Johari Tun Openg (File pix)
24/07/2022 12:02 AM

SIBU, 23 Julai (Bernama) -- Tempat bersejarah di Sibu seperti Muzium Hospital Lau King Howe dan Dataran Tun Tuanku Bujang perlu dihubungkan antara satu sama lain menerusi jaringan Jejak Warisan bagi membantu menarik lebih ramai pelancong ke bandar itu, yang terletak di tengah-tengah Sarawak.  

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jaringan Jejak Warisan ini juga boleh dihubungkan dengan kawasan riadah dan tumpuan ramai lain yang berdekatan seperti Taman Rimba Bukit Lima di sini.

"Sibu mempunyai warisan dan latar belakang yang akan dipertahan dan saya percaya Kementerian Pelancongan (Industri Kreatif dan Seni Persembahan) Sarawak akan mewujudkan jejak warisan (di sini),” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Pesta Kebudayaan Borneo 2022 di sini malam ini.

Abang Johari berkata selain infrastruktur pelancongan, pelan pembangunan semula bandar Sibu perlu mengambil kira kaedah bagi mengawal banjir yang sering berlaku dan inilah yang menyebabkan beliau mencadangkan supaya terusan-terusan dibina seperti di Amsterdam, Belanda.

"Oleh sebab itulah saya secara terbuka (dalam lawatan ke Sibu sebelum ini) menyatakan bahawa Sibu pada suatu masa nanti berkemungkinan menjadi seperti Amsterdam," katanya.

Beliau turut menekankan tiga perkara ke arah memastikan Sibu menjadi tarikan pelancongan pada masa akan datang iaitu penguasaan bahasa lain di samping Bahasa Melayu, teknologi interaktif bagi mempromosi produk pelancongan dan penggunaan sistem pembayaran yang diterima seluruh dunia.

Abang Johari juga memuji kejayaan Majlis Perbandaran Sibu menganjurkan pesta itu yang saban tahun menunjukkan peningkatan dari segi kualiti.

Terdahulu, ketibaan Premier Sarawak itu ke majlis yang berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang dalam keadaan hujan lebat, telah disambut dengan sorakan daripada pengendali gerai makan.

Cuaca hujan juga tidak menghalang orang ramai hadir ke venue sambutan bagi menyaksikan pelbagai pertunjukan kebudayaan masyarakat berbilang kaum di Sibu.

-- BERNAMA