Premier Sarawak gesa Kerajaan Pusat memudah cara rundingan selanjutnya mengenai MA63

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (File pix)
23/07/2022 01:12 AM

SIBU, 22 Julai (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa Kerajaan Persekutuan memudah cara rundingan selanjutnya mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk kebaikan negara ini secara keseluruhan.

Berucap pada perasmian sambutan Hari Sarawak ke-59, yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri  Tun Abdul Taib Mahmud di sini malam ini, beliau berkata baru-baru ini Parlimen sudah meluluskan pindaaan untuk mengiktiraf keutamaan MA63 kepada hubungan perlembagaan antara pihak-pihak yang membentuk Malaysia dan status pihak-pihak berkenaan yang setaraf.

Beliau berkata cadangan supaya MA63 diubah tidak sepatutnya dibuat sama sekali, apatah lagi beberapa hak dan keistimewaan Sarawak sedia ada sama ada sudah terhakis  atau belum ditunaikan selepas 59 tahun.

“Perkara yang perlu dilakukan Kerajaan Persekutuan ialah menunaikan sepenuhnya perjanjian bapa pengasas negara ini dalam semangat Keluarga Malaysia dan tidak menangguhkannya,” katanya.

Menurut Abang Johari, MA63 adalah perjanjian suci yang tidak boleh diubah atau dihaluskan dalam sebarang cara atau bentuk.

“Apa yang pemimpin Sarawak telah memasukkan dahulu sebagai  peruntukan dalam perjanjian sebagai sebahagian dari Malaysia ialah apa yang difikirkan perlu untuk melindungi hak dan kepentingan negeri dan rakyatnya pada zaman mereka selain dari masa hadapan.

Sebagai contoh, hak kami sebagaimana termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958) yang nyata wujud sebelum 1963, tidak pernah dimansuhkan dan akan terus dikuatkuasakan dan memberikan kuasa kepada kami ke atas sumber petroleum kami di darat,” kata Abang Johari. 

Beliau berkata oleh kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan kerajaan negeri sekarang, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk melindungi dan memulihkan hak Sarawak yang terhakis supaya MA63 dihormati dan dilaksanakan sebagaimana dipersetujui pemimpin sebelum ini.

Abang Johari berkata Kerajaan GPS sudah merumuskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang tidak berasaskan keseluruhannya daripada input kerajaan sahaja tetapi juga melibatkan sektor swasta dan korporat menerusi penyertaan mereka dalam Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC).

Menurut beliau, era Pasca COVID-19 menyaksikan dunia bergerak ke arah ekonomi yang dipacu peralihan kepada sumber tenaga baharu sejajar dengan komitmen sejagat ke arah kelestarian untuk membina ekonomi hijau dan menangani isu perubahan iklim global. 

“Sejajar dengan komitmen universal ini, PCDS 2030 dirumus  untuk meliputi ekonomi berasaskan tenaga hijau, terutamanya hidrogen. Sarawak sudah awal lagi memulakan penerokaan potensi gas hidrogen sebagai sumber tenaga bebas emisi dengan menyasarkan pembinaan ekonomi berasaskan hidrogen,” kata Abang Johari.

Dengan sumber yang banyak seperti air dan kuasa hidro, beliau berkata Sarawak mempunyai potensi besar menjadi hab ekonomi hidrogen di rantau ini dan pelabur-pelabur dari negara seperti Korea Selatan dan Jepun sudah mengesahkan pelaburan mereka di Bintulu untuk menghasilkan hidrogen dan ammonia. 

Mengenai sambutan Hari Sarawak, beliau berkata ia adalah satu titik penyatuan kepada rakyat Sarawak untuk memburu impian menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030.

“Saya maklum mengenai kontroversi berkenaan penterjemahan dan maksud Hari Sarawak. Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah semangat seluruh warga Sarawak untuk memakmurkan Sarawak menurut tema sambutan “Sarawak Makmur” dalam sebarang kapasiti dan peranan tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama,” katanya. 

Turut hadir pada sambutan itu ialah isteri Taib, Toh Puan Raghad Kurdi Taib, isteri premier Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan beberapa Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan. 

-- BERNAMA