Perjanjian Malaysia baharu buka peluang Sarawak tuntut, tambah baik hak

23/07/2022 12:29 AM

KUCHING, 22 Julai (Bernama) -- Usul membuat satu Perjanjian Malaysia baharu dilihat boleh membuka peluang dan ruang bagi Sarawak menuntut serta menambah baik hak-hak negeri itu.

Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, cadangan itu juga wajar dibincangkan dan tidak seharusnya ditolak bulat-bulat terutamanya dalam negara demokrasi yang meraikan kepelbagaian pendapat.

Jelasnya mungkin melalui Perjanjian Malaysia baharu itu juga pelbagai isu serta cadangan berkaitan Sarawak seperti penambahan kerusi Parlimen di negeri itu boleh menjadi realiti.

“Jadi barangkali melalui new deal (perjanjian baharu) ini kita (Sarawak) akan dapat satu pertiga kerusi Parlimen, itu sudah cukup baik. Ini juga satu ruang terbuka untuk penambahbaikan apa yang kita ada (hak sedia ada).

“Malah dalam isu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mungkin Sarawak boleh dapat lebih lagi. Oleh itu, kita perlu berani meneroka dan bergerak ke hadapan serta berani untuk berunding dengan lebih lagi,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Hari Sarawak Yang Penuh Makna”, malam ini.

Turut menjadi tetamu program berkenaan ialah saintis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Jayum Jawan dan Ketua Program Sejarah Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Suffian Mansor.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika berucap pada Konvensyen BN Sabah di Penampang, awal bulan ini, mencadangkan agar kepimpinan BN negeri itu mengusulkan Perjanjian Malaysia baharu.

Katanya, ia sebagai langkah lebih konkrit ke arah merealisasikan hak-hak dan tuntutan negeri sebagaimana yang termaktub dalam MA63.

-- BERNAMA