Langkah advokasi perlu untuk terangkan AGS2021 - Menteri Sarawak

Datuk Seri Fatimah Abdullah (File pix)
21/07/2022 12:46 PM

KUCHING, 21 Julai (Bernama) -- Langkah advokasi perlu diambil bagi menguar-uarkan kepada pekerja, tidak kira jantina, mengenai wujudnya akta yang melindungi mereka daripada gangguan seksual setelah Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 (AGS2021) diwartakan kelak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata strategi advokasi itu termasuk penerangan tentang definisi gangguan seksual, kesan dan akibat kepada mangsa, tatacara pelaporan, bantuan serta sistem sokongan yang diperlukan mangsa.

“Tidak ramai mangsa yang mahu tampil untuk melapor. Terutama sekali jika pelakunya orang yang berkedudukan, berpengaruh, baik sudah berkeluarga. Orang akan lebih berpihak kepada pelaku daripada mangsa.

“Mangsa akan terus menjadi mangsa dan bukannya menerima simpati dan sokongan. Keadaan ini perlu diubah. Tempat kerja haruslah menjadi tempat selamat untuk semua agar fokus dapat diberi kepada output (hasil keluaran) dan outcome (hasil) kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam AGS2021, yang mengandungi empat bahagian, empat bab dan 27 fasal, akhirnya diluluskan Dewan Rakyat setelah hasil usaha penggubalan dan libat urus dilakukan sejak 2011. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun ketika menggulung AGS2021 berkata rang undang-undang itu adalah manifestasi penting dan membuktikan komitmen kerajaan dalam usaha menghapuskan diskriminasi berasaskan gender.

-- BERNAMA