Pengurusan kewangan berhemah Sarawak bolehkan projek pembangunan diteruskan - ADUN Tupong

Fazzrudin Abdul Rahman
20/07/2022 03:25 PM

KUCHING, 20 July (Bernama) -- Pengurusan kewangan yang berhemah oleh kerajaan negeri Sarawak memberi negeri itu kelebihan untuk meneruskan projek-projek pembangunannya, meskipun kerajaan pusat mengambil langkah penjimatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata di bawah kepimpinan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak turut berjaya menjalankan usaha aliran-aliran hasil alternatif bagi mempelbagaikan pendapatan negeri. 

“Satu contoh ialah dengan pelaksanaan Cukai Jualan Negeri Sarawak (SST) dan pada masa depan menjana pendapatan menerusi sumber kredit karbon.

“Selain itu kita juga sedang mendapatkan kembali hak-hak negeri iaitu negeri ini berhak ke atas sejumlah geran istimewa daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan menerusi Pekeliling Perbendaharaan berhubung Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam bertarikh 14 Julai menyatakan kementerian, jabatan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan hendaklah meneruskan proses praperolehan yang tiada implikasi kewangan seperti perancangan, membuat reka bentuk, kebenaran merancang, menyelesaikan urusan berkaitan tanah/tapak projek dan sebagainya.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Asri Hamidon menerusi pekeliling itu berkata selaras dengan hasrat kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan bagi semua projek yang sedang dalam pelaksanaan, kementerian/jabatan/agensi hendaklah memantau secara rapi kemajuan projek agar ia siap dalam tempoh ditetapkan.

Semalam, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak akan meneruskan projek-projek pembangunan yang telah dirancang demi manfaat ekonomi dan rakyat negeri ini, meskipun Kerajaan Persekutuan mengambil langkah-langkah penjimatan.

Sementara itu, Fazzrudin berkata bukanlah rahsia bahawa Sarawak memerlukan pembangunan dengan kadar pantas terutama dari segi infrastruktur, kemudahan serta fasiliti asas seperti bekalan eletrik dan air terawat yang berterusan serta pembangunan infrastruktur digital. 

Beliau berkata pelaksanaan projek pembangunan secara berterusan bukan sahaja memastikan fasiliti-fasiliti yang sangat diperlukan itu dapat dinikmati rakyat, malah, akan menyumbang kepada keseluruhan pertumbuhan ekonomi.

“Projek pembangunan yang berterusan juga akan menggalakkan pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar Sarawak iaitu dengan infrastruktur dan ketersambungan yang mencukupi, memberi kesan positif yang luas,” tambahnya. 

-- BERNAMA